Images
  • nurul ain dog
    Nurul Ain memandikan salah seekor anjing di tempat perlindungan haiwannya di Shah Alam. (Gambar: Vincent Tan)

Nurul Ain, suaminya Muhammad Razeef bertekad lawan stigma terhadap anjing di M'sia; berusaha selamatkan haiwan cedera

SHAH ALAM: Nurul Ain Abdul Hamid mempunyai lebih 400 ekor kucing dan berbelas-belas ekor anjing di bawah jagaannya di Rumah Perlindungan Haiwan SI. Bagaimanapun, satu-satunya haiwan yang paling dekat di hati beliau tidak lagi tinggal di sana.

Marvela - seekor anjing kuning kacukan - adalah anjing pertama yang pernah diselamatkan Nurul Ain, 28 tahun. Beliau berkata haiwan itu mempunyai "tempat istimewa" di hatinya.

"Saya terjumpanya dalam keadaan cedera dan berusaha merawatnya supaya kembali sembuh. Namun, dua kaki depannya dijangkiti dan terpaksa dikudungkan. Itu trauma bagi saya," beliau membuka cerita.

Selepas pembedahan, Marvela terpaksa hidup tanpa kedua-dua kaki depannya, membuatkan pergerakan suatu yang sukar. Namun, Nurul Ain berkata anjing betina itu tetap "comel seperti biasa", menyambut ketibaan para pekerja rumah perlindungan itu dengan mengibas ekornya dan melompat menggunakan kedua-dua kaki belakangnya "seperti seekor kanggaru".

Akhirnya, Marvela dipelihara oleh pasangan selebriti - pelawak Harith Iskander dan isterinya, Jezamine Lim.


(Harith Iskander (kiri), Jezamine Lim (tengah) dan Nurul Aini Abdul Hamid bergambar dengan Marvela. Gambar: drjezaminelin/Instagram)  

“Saya amat merinduinya tetapi kami masih berkongsinya. Mereka tetap menghantar gambar serta video Marvela dan saya bahkan kadangkala mengunjunginya," tambah Nurul Ain.

Sebagai sebahagian daripada aturan hak penjagaan bersama, Nurul Ain juga akan membawa Marvela pulang ke rumahnya untuk beberapa kesempatan.

Suami beliau, Muhammad Razeef Che Samah, juga tidak kekok dengan anjing. Lelaki berusia 39 tahun itu, yang mengasaskan rumah perlindungan haiwan berkenaan pada 2012, mengimbas kembali detik beliau pertama kali menyelamatkan anjing.

“Saya ternampak ia dilanggar oleh sebuah kereta dan membawanya pulang. Saya mahu mencari seseorang yang boleh memeliharanya tetapi tidak berhasil jadi ia menjadi haiwan peliharaan saya selama tujuh tahun. Ia akhirnya mati akibat masalah buah pinggang," kongsi Muhammad Razeef.


(Muhammad Razeef Che Samah menyediakan makanan untuk anjing-anjing di tempat perlindungan haiwan. Gambar: Vincent Tan)

Nurul Ain dan Muhammad Razeef jatuh cinta sebahagian besarnya kerana mereka berkongsi minat yang sama terhadap haiwan.

Meskipun memelihara kucing adalah satu perkara biasa dalam masyarakat Malaysia, menjaga, menyentuh atau mengusap anjing satu subjek yang kontroversil.

Ramai warga Islam Malaysia menganggap anjing sebagai tidak suci lantas perbuatan memeliharanya sebagai haiwan pengawal atau untuk memburu tidak boleh diterima. Mengambil anjing sebagai seekor haiwan peliharaan pula dianggap keterlaluan.

“ISLAM AJAR KITA JAGA HAIWAN"

Nurul Ain dan Muhammad Razeef tetap menegaskan bahawa kerja-kerja yang dilakukan mereka untuk memberi tempat perlindungan dan makanan kepada anjing tidak menjadikan mereka "kurang sifat Muslim". Sungguhpun demikian, pasangan itu menyedari bahawa masyarakat Malaysia, yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu Islam, mempunyai stigma sosial terhadap anjing kerana ia "dianggap tidak suci".

“Kami tidak boleh mengubah pemikiran ini terutamanya dalam masyarakat Melayu kita. Sesetengah pengkritik berkata apa yang kami lakukan adalah salah, ia haram. Tetapi kami berpendapat Islam mengajar kita untuk menjaga haiwan dan membantunya untuk hidup," ujar Nurul Ain.

Beliau menekankan bahawa tujuan memelihara anjing-anjing itu di rumah perlindungannya adalah untuk melindungi haiwan tersebut daripada bahaya, memastikan ia sihat dan mencarikan ia sebuah keluarga yang akan memeliharanya dengan baik.

Bagaimanapun, setelah menjaga anjing-anjing itu sedari ia diabaikan waktu kecil lagi, pasangan tersebut mula sayang pada anjing dan berpisah dengan haiwan itu sebelum menyerahkannya kepada sebuah keluarga mungkin sukar.

Pasangan itu berkongsi mereka menerima ancaman daripada warga Islam Malaysia lain, kebanyakannya secara online, yang mengutuk mereka sebagai "bersifat liberal" dan lebih menerima pengaruh Barat yang "tidak bermoral".

Nurul Ain berkata label-label seumpama itu tidak memberi kesan kepada mereka berdua kerana pasangan tersebut tetap mematuhi syariah Islam dengan melakukan sertu setelah tersentuh air liuh atau najis anjing.

“Ia satu pemikiran yang pelik. Mereka akan menuduh kami bukan lagi Islam dan sesetengah daripada mereka yang naif akan berkata anjing haram untuk didekati," ujar Nurul Ain.

ANJING DIDERA ANGKARA STIGMA, KATA NURUL AIN

Nurul Ain memberi amaran bahawa stigma dalam masyarakat sudahpun menyebabkan banyak anjing didera dan dicederakan.

Sepanjang usahanya menyelamatkan anjing, Nurul Ain berkata beliau melihat anjing dicederakan oleh manusia yang akan membaling batu, menendang atau bahkan meracuninya.

“Segelintir saja yang agresif tetapi sebilangan besar anjing ini tidak membahayakan manusia. Namun disebabkan beberapa kesalahfahaman agama, mereka mencederakan anjing. Saya tidak tahu mengapa mereka mempunyai pemikirani sebegini tetapi sebahagian besar masyarakat kita tidak suka anjing berkeliaran di sekitar rumah mereka," tambah beliau.

Sungguhpun pasangan itu bertekad untuk menyelamatkan sebanyak anjing yang mereka mampu, sebahagian besar sumber tempat perlindungan itu tertumpu kepada menjaga kucing.


(Nurul Ain Abdul Hamid dengan beberapa ekor kucing yang merupakan penghuni di tempat perlindungan haiwan, SI Shelter. Gambar: Vincent Tan)

Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, tempat perlindungan haiwan itu - sebuah rumah kedai tiga tingkat di Shah Alam, sudahpun merawat lebih daripada 1,000 kucing yang semuanya pada mulanya sakit tetapi diselamatkan, dirawat serta ditawarkan untuk pemeliharaan.

Nurul Ain dan Muhammad Razeef tidak terkesan dengan kritikan serta kontroversi terhadap mereka yang menjaga haiwan-haiwan itu dan mereka bertekad untuk terus memperjuangkan misi mereka.  

- CNA/FZ/fz

Top