Images
  • nuradee1
    Pasangan adik-beradik Nuradee. (Gambar: Nuradee Brothers/Facebook)

Nuradee buat persembahan 'comeback' pada 6 Sep sempena Pesta Muzik Sultangate

SINGAPURA: Sebut sahaja lagu 'Diam' dan 'Aku Yang Masih', siapa yang tidak kenal dengan pelantun lagu-lagu ini yang cukup popular pada tahun 1990-an?

Diiringi petikan gitar dengan imej yang santai serta harmoni yang cukup lunak, pasangan adik-beradik Nuradee mencipta gelombang segar dalam arena muzik di Singapura ketika itu.


Setelah sekian lama tidak mengadakan konsert, kini Nur dan Adee bertekad kembali dengan persembahan bertiket pertama pada Jumaat malam (6 Sep) bersempena Pesta Muzik Sultangate di Taman Warisan Melayu.

Malah BERITAmediacorp dimaklumkan, kesemua 150 tiket sudahpun habis dijual sejak sebulan lalu!

Nur memberitahu BERITAmediacorp: "Kami tidak pernah menyangka sambutan sebegini. Rasa kesal tak buat di tempat yang lebih besar kerana ramai yang tak dapat (membeli tiket). Ini pun sekadar pengikut di Facebook sahaja.

"Inilah persembahan 'comeback' kami. Saya rasa ramai yang merindui kami. Sampai sekarang kami masih mendapat banyak pertanyaan (mengenai tiket). Kami berasa sangat terharu."


Menurut Nuradee, konsert terakhir mereka di Singapura adalah pada tahun 1991. Setelah mengecap populariti pada abad 1990-an, kumpulan Nuradee kemudian senyap pada tahun-tahun 2000.

Mereka kemudian menceburi pula bidang perniagaan sehingga terpalit dengan kontroversi. Namun demikian Nuradee bangkit kembali dengan sebuah album baru pada 2016.

15 LAGU DALAM 90 MINIT

Bagi melepaskan rindu peminat, duo tempatan ini juga akan mendendangkan 15 lagu dalam tiga segmen, selama 90 minit keseluruhannya.

Yang menariknya, Nuradee juga buat pertama kalinya bakal menyanyikan sebuah lagu yang dicipta berpuluh-puluh tahun lalu, berjudul Malam Berakhir Satu Elusi.


"Kami menggubah lagu itu 30 tahun lalu. Kami akan menyanyikannya buat pertama kalinya nanti. Ia juga lagu puisi tulisan penyair Suratman Markasan," kongsi Nur.

Sehubungan itu, video muzik bagi lagu 'Fantasi', (lagu yang diterbitkan pada tahun 2016) juga akan dilancarkan malam ini sempena acara tersebut.

KAKI YANG HAMPIR DIPOTONG KINI SUDAH 95% PULIH

Yang pasti, Nur, kini sudah bersedia menghiburkan peminat setelah kembali "stabil dan bersemangat" daripada dugaan cukup hebat yang dialami dalam kehidupannya awal tahun ini.


(Gambar-gambar: Nuradee Brothers/Facebook)

Awal tahun ini beliau dijangkiti jangkitan Necrotizing fasciitis - bakteria bangkai haiwan yang makan daging - sehingga kakinya mungkin terpaksa dikudungkan.

"Keadaan kaki saya okay. Kini 95 peratus pulih. Dah boleh jalan seperti biasa, cuma kulit perlu pulih sepenuhnya.

"Sekarang cuma masih perlu menjalani pemeriksaan susulan doktor," ujar Nur ringkas.

NURADEE, BAND & KERONCONG

Nuradee yang kini lebih banyak membuat persembahan bagi acara tertutup di Singapura dan Kuala Lumpur, berkongsi bahawa para penonton dapat menjangkakan sedikit kelainan apabila mereka naik pentas bagi Pesta Muzik Sultangate.

"Kami akan membuat persembahan dengan band penuh dan juga dengan beberapa elemen keroncong.

"Selain lagu seperti Gurindam Pusaka dan Tekad, kami juga akan membuat beberapa 'cover' lagu Inggeris," jelas Nur.

Persembahan Nuradee akan bermula pada jam 9.00 malam ini di Taman Warisan Melayu.

- BERITAmediacorp/im

Top