Images
  • sajat
    Gambar: Instagram/nursajatkamaruzzaman

Nur Sajat dedah bakal muncul dalam The Ellen Show

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, memaklumkan dia bakal muncul dalam program bual bicara popular terbitan Hollywood, The Ellen Show, tahun depan.

Ahli perniagaan kontroversi berusia 36 tahun yang kini menetap di Australia itu, mendedahkan perkara tersebut secara langsung di TikTok, lapor Astro Awani.

"Pada bulan Januari, saya akan ke Amerika Syarikat untuk (program) The Ellen Show," katanya.

Bagaimanapun, pengesahan mengenai kemunculan Nur Sajat dalam program berkenaan tidak dapat dipastikan.

Nur Sajat turut memaklumkan, dia tidak bercadang untuk kembali ke Malaysia kerana pada masa ini dia berasa "selamat, gembira dan bebas" di Australia.

Sebelum berhijrah ke Australia Oktober lalu, Astro Awani melaporkan Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.

Ketika ditahan, Nur Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok.

- Agensi berita/SM/sm

Top