Images
  • neng yatimah1
    Neng Yatimah. (Gambar: Hidir Ali Razali)

Neng Yatimah tidak makan dan minum sejak 3 hari lalu

SINGAPURA: "Jaga anak-anak, kalau mak tak ada."

Itulah pesanan terakhir yang diberikan seniwati Neng Yatimah kepada cucu saudaranya yang sudah lama dianggap sebagai anaknya sendiri, Isa Sawi, 53 tahun.

Neng Yatimah, atau nama sebenarnya Yatimah Ahmad (nama timangan Buntat) meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) sekitar 10.20 pagi tadi (19 Mac) kerana sakit tua. Allahyarhamha berusia 89 tahun.

Ini disahkan dan diceritakan sendiri oleh Encik Isa ketika dihubungi BERITAMediacorp tengah hari tadi.

Menurut Encik Isa, Allahyarhamha, yang terkenal dengan filem-filem klasik Melayu seperti 'Batu Belah Batu Bertangkup' dan 'Laila Majnun', tidak makan dan minum sejak tiga hari lalu.

Allahyarhamha dimasukkan ke KTPH dua hari lalu selepas mengadu tidak sihat. Beliau meninggal dunia di sisi Encik Isa.

Encik Isa memberitahu BERITAMediacorp, beliau sudah tinggal bersama Allahyarhamha di Singapura sejak usianya 1 tahun, dan sudah menganggap beliau sebagai ibunya sendiri.

Encik Isa jugalah yang menjaga Allahyarhamha sejak seniwati itu menjadi uzur dan kesihatannya bertambah buruk, sekitar dua tahun lalu.


Keluarga seni - Roseyatimah dan ibu bapanya, Jasni Ahmad dan Neng Yatimah. (Gambar: Hidir Ali Razali)

PESANAN TERAKHIR NENG YATIMAH

Menceritakan detik-detik terakhir bersama Allahyarhamha, Encik Isa berkata: "Arwah pesankan supaya 'jaga anak-anak, kalau mak tak ada nanti.'

"Arwahnya seorang ibu yang penyayang. Beliau sudah jaga saya di sini di Singapura sejak usia saya satu tahun, dan sudah dianggap seperti mak saya sendiri."

Allahyarhamha sebelum ini dilaporkan semakin uzur dan mengalami masalah jantung dan barah kolon.

Encik Isa berkata, Allahyarhamha lebih banyak duduk di rumah dan tidak lagi giat dalam dunia seni sejak dua tahun lalu kerana sakit.

Namun katanya, ketika Allahyarhamha masih aktif, beliau gemar menyanyi karaoke, dan sering berkaraoke bersama rakan-rakan seni lama di sini, seperti Kamaliah Latiff, hingga sekitar tiga atau empat tahun yang lalu.


Seniwati Neng Yatimah (dua dari kanan) bersama seniman Aziz Sattar. (Gambar fail: Ukhti Aminah)

ASMARA TERKENANG

"Lagu yang gemar beliau nyanyikan semasa berkaraoke, yang saya ingat, ialah 'Asmara Terkenang'," ujar Encik Isa.

Bahkan, Allahyarhamha dilaporkan pernah merakamkan rekod lagu 'Asmara Terkenang' dengan menggunakan nama 'Neng Buntat'.

"Kenangan saya semasa arwah masih aktif dulu… beliau selalu sibuk ke sana sini, ulang alik ke Kuala Lumpur atas urusan tugas," ujar Encik Isa.

Menurut Encik Isa lagi, Allahyarhamha selama ini memang menetap di Singapura.

Ini meskipun Allahyarhamha boleh dikatakan menempa nama sebagai srikandi layar perak di negara seberang, dan seangkatan dengan seniwati terkenal seperti Siput Sarawak.

"Arwah tidak menetap di Malaysia kerana tidak begitu dekat dengan keluarga dan cucu-cucu di sana.

"Lagipun, satu-satunya anaknya, Roseyatimah sudah agak lama meninggal dunia, dan beliau tidak tinggal bersama menantunya, Datuk Mustapha Maarof.

"Beliau hanya ulang-alik ke Kuala Lumpur. Kali terakhir beliau ke sana ialah semasa Datuk Mustapha meninggal dunia pada 2014," ujar Encik Isa kepada BERITAMediacorp.

BERNAMA sebelum ini melaporkan, cucu Allahyarhamha, Azlynna Mustapha, berkata walaupun keluarganya sudah beberapa kali meminta Mak Neng (panggilan dalam keluarganya) menetap di Malaysia, namun beliau menolak kerana ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura.

Cik Azlynna juga dipetik BERNAMA sebagai berkata ketika bapanya (Datuk Mustapha Maarof) meninggal dunia, Mak Neng amat tertekan sehingga menjejaskan kesihatannya.

"Setelah kematian anaknya Allahyarham Roseyatimah, hubungan Mak Neng dengan menantunya (Mustapha) amat rapat. Setiap kali bulan puasa, arwah akan mengirimkan duit ke Singapura untuk ibu mentuanya itu," katanya ketika itu.


Bintang veteran filem Melayu Neng Yatimah. (Gambar fail: ipohstation.blogspot.sg)

NENG YATIMAH – BINTANG ‘AIR MATA’

Allahyarhamha dilahirkan pada 17 Jan 1927 di Singapura. 

Beliau, yang memulakan kerjayanya dalam bidang seni pada 1949, dikenali sebagai bintang 'air mata', kerana mudah mengalirkan air mata dengan watak-watak sedih yang sering didokongnya.

Filem pertama yang dilakonkan bintang filem Shaw Brothers, Cathay Keris dan Merdeka Film Studio itu ialah 'Takdir Illahi' bersama seniman P Ramlee.

Nama "Neng Yatimah" diberikan Allahyarham P Ramlee, setelah mengetahui beliau berketurunan Jawa.

Allahyarhamha merupakan pelakon hebat filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal menerusi filem-filem klasik seperti Air Mata Duyong, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Batu Belah Batu Bertangkup, Seri Mersing, Racun Dunia dan filem terakhir lakonannya, Mama oh Mama pada 1981 bersama Allahyarhamha Azean Irdawaty.

Allahyarhamha menerima anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 pada 1997.

Pada tahun 2011, sumbangannya dalam industri seni perfileman Melayu era 1950an dan 1960an turut diiktiraf di bawah inisiatif Tabung Kebajikan Penggiat Seni, anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Allahyarhamha Neng Yatimah di kalangan generasi perintis yang banyak menyumbang dan membantu untuk membangunkan bidang seni Singapura, bahkan memilih untuk terus menetap di Singapura.

CUCU TIDAK IKUTI JEJAK LANGKAHNYA

Allahyarhamha meninggalkan tiga cucu - menurut Encik Isa, tiada seorang daripada mereka yang mengikuti jejak ibu, nenek dan bapa mereka dalam bidang seni.

Keluarga Allahyarhamha bagaimanapun terkenal sebagai 'keluarga seni' - satu-satunya anak beliau, seniwati Roseyatimah meninggal dunia pada 1987; anak menantunya, seniman Datuk Mustapha Maarof, meninggal dunia pada 2014, dan suaminya, penyanyi Jasni Ahmad, juga sudah berpulang.


Bintang veteran filem Melayu Neng Yatimah bersama anaknya, pelakon Roseyatimah. (GAMBAR: ipohstation.blogspot.sg)

Cucunya, Rezainuddin Mustapha, 40 tahun, memberitahu BERNAMA, kali terakhir beliau bertemu dengan neneknya ialah pada Aidilfitri lalu.

"Saya sempat ziarah nenek dan meluangkan masa bersamanya pada Hari Raya lalu dan nenek sudah tidak berapa sihat ketika itu," katanya.

Jenazah Allahyarhamha selamat dikebumikan di Pusara Abadi, petang tadi.

- BERITAMediacorp/nd

Top