Images
  • neelofa kahwin
    (Gambar: Neelofa Management)

Neelofa, Haris selamat diijab kabul

PETALING JAYA: Personaliti terkenal Malaysia, Noor Neelofa Mohd Noor sah bergelar isteri kepada pasangan pilihan hatinya, Muhammad Haris Mohd Ismail dalam satu majlis pernikahan pagi tadi (27 Mac).

Pasangan itu dinikahkah adik lelaki Neelofa, Mohd. Aqief Mohd. Noor tepat pukul 11.43 pagi tadi.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin daripada pihak lelaki.

Jumlah wang hantaran pula dirahsiakan atas permintaan kedua-dua belah mempelai, lapor Kosmo Malaysia.

Majlis pernikahan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka itu berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami.

“Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT. Insya-Allah,” ujar kedua-dua pasangan suami isteri tersebut dalam satu kenyataan kepada media setelah selamat diijabkabulkan.

Turut hadir ahli keluarga Neelofa iaitu bapa tirinya, Halim Khan dan ibunya, Noor Kartini serta ahli keluarga Haris, Ismail Nobat dan Normah Johari.

Khutbah nikah pula disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mendedahkan detik perkenalan bersama Haris, Neelofa mengakui mula mengenali Haris sekitar bulan Jun 2017.

“Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.

“Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincang banyak hal dan ia membuatkan saya selesa di sampingnya.

“Dia seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah,” tuturnya.

Berkenaan perihal zuriat pula, Neelofa menyerahkan segalanya kepada aturan Allah SWT.

“Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Yang Maha Esa. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka,” katanya.

- Agensi berita/HA/ha

Top