Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Neelofa dan suami didakwa di mahkamah esok kerana langgar peraturan COVID-19

Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail, akan didakwa di Mahkamah Majistret di Seremban pada Khamis (20 Mei) berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditularkan di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Neelofa dan suami didakwa di mahkamah esok kerana langgar peraturan COVID-19

Neelofa bersama suaminya, PU Riz. (Gambar: Neelofa/Instagram)

Diterbitkan : 19 May 2021 11:32PM Dikemas Kini : 19 May 2021 11:37PM

SEREMBAN: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail, akan didakwa di Mahkamah Majistret di Seremban pada Khamis (20 Mei) berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya sudahpun menerima semula kertas siasatan melibatkan pasangan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara pada Rabu (19 Mei).

Beliau berkata pasangan itu akan didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (kawalan pergerakan bersyarat) (no.4) (pindaan) (no.12) 2021.

Beliau menambah Muhammad Haris berdepan dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.

"Sementara itu, Noor Neelofa akan didakwa gagal mematuhi SOP PKPB kerana tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk (check-in) di premis atau menulis secara manual," kata Supt Mohd Fazley dalam satu kenyataan.

Pada 2 Mei lalu, Noor Neelofa memuat naik gambar dan video beliau bersama suami berada di sebuah kedai karpet di Nilai, Seremban. Dua hari kemudian, pasangan itu hadir untuk memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan