Images
  • neelofa
    (Gambar: Neelofa/Instagram)

Neelofa bersimpati dengan nasib Utusan Melayu

KUALA LUMPUR: Selebriti Neelofa mengakui terkejut dengan nasib yang menimpa syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Berhad melalui ciapan di akaun Twitternya pada Isnin (19 Ogos), lapor Malaysiakini.

Pelakon serta pengacara dengan nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor berkata syarikat penerbitan berkenaan sudah banyak membantu membina kerjayanya sejak awal penceburan beliau dalam lapangan seni tanah air.

“Saya mahu membalas budi baik mereka. Jika anda kenal sesiapa (yang bekerja) daripada bahagian sumber manusia atau mana-mana syarikat yang ingin mencari pekerja, tinggalkan butiran anda!,” tulisnya.

Awal dari itu, pada Isnin, lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar tersebut bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1.00 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, lapor Malaysiakini.

Isu kelewatan bayaran gaji menyebabkan kakitangan syarikat berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan harian.

Selain itu, bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) turut menerima nasib sama apabila bayaran terakhir diterima pada Jun lalu.

Lebih menyedihkan lagi apabila syarikat akhbar keramat yang sinonim dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu itu difahamkan akan memberhentikan operasi mencetak akhbar bermula Rabu (20 Ogos).

Difahamkan operasi harian syarikat hanya akan berjalan menerusi wadah digital sehingga makluman kelak.

- Agensi berita/FZ/fz

Top