Images
  • nazrey johani
    Bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani. (Gambar: Facebook/Nazrey Johani)

Nazrey tidak rancang kembali dengan Raihan, akan timbangkan kalau diundang

KUALA LUMPUR: Bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani tidak mungkin akan kembali bersama kumpulan nasyid popular itu tetapi tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka, lapor Harian Metro.

Nazrey ketika dihubungi oleh wartawan Harian Metro berkata, beliau tidak lagi dapat memberikan komitmen 100 peratus terhadap nyanyian kerana kini sibuk menguruskan Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau, Sabah.

Namun, Nazrey berkata, beliau akan tetap menimbangkan sebarang jemputan untuk berkongsi pentas dengan kumpulan Raihan selepas berbincang dengan pengurus artisnya terlebih dahulu.

Sebelum ini, kumpulan Raihan yang kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim kembali menjadi topik perbualan selepas lagu Sesungguhnya yang dirakam semula bersama Aliff Satar menjadi popular dan tular, menurut laporan Harian Metro.

Menyusuli projek #Sesungguhnya2019, ramai peminat mula mencadangankan supaya Nazrey kembali bersama Raihan seperti mana mereka mencetus fenomena menerusi album Puji-Pujian dahulu.

Harian Metro melaporkan, Nazrey juga terharu dengan tanda ingatan peminat yang merindui kelunakan suaranya itu.

“Setinggi ucapan terima kasih juga kepada pihak media yang memberikan sumbangan hingga menyebabkan lagu Sesungguhnya tular di media sosial,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Nazrey meninggalkan Raihan pada 2005 kerana mahu memberi tumpuan kepada aktiviti dakwah.

Sementara itu, Che Amran dalam satu temubual dengan Harian Metro mengakui Raihan kini selesa bertiga. Che Amran berkata, walaupun banyak permintaan untuk mereka kembali bergabung, tetapi ia bukan dalam tempoh terdekat ini.

“Kami okay dengan Nazrey dan masih berhubung walaupun tidak kerap. Kami tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Nazrey, cuma bukan dalam masa terdekat ini. Lagipun dia sibuk dengan aktiviti lain. Doakan yang terbaik buat kami."

- Agensi berita/ZM/zm

Top