Images
  • badang
    (Gambar: Badang The Movie, Facebook) 

Nasib Badan-g! Penonton berikan 1 markah saja daripada 10, hanya kutip S$25,000

KUALA LUMPUR: Alahai, nasib badan. Filem 'Badang' mungkin hebat daripada segi promosi namun realitinya ia bukan pilihan kaki wayang.

Menurut laporan Astro Awani, filem adiwira arahan Datuk A. Razak Mohaideen itu menamatkan tayangannya dengan jumlah kutipan sekitar RM74,150 (S$25,000) selepas 14 hari ditayangkan. Jumlah kutipan itu berdasarkan sumber laman web Finas.

Bermakna, pulangannya jauh lebih kecil berbanding modal filem tersebut yang mencecah RM2.2 juta (S$740,000), lapor Astro Awani.

Kutipan ini sekali gus memadam harapan penerbitnya, FiTA Studio Sdn Bhd untuk melakar rekod pecah panggung bagi filem ini.

Menurut Astro Awani lagi, Badang menerima penilaian yang sangat rendah iaitu 1/10 seperti yang didedahkan dalam Internet Movie Database (IMDB). Malah dikatakan kurang daripada 10 peratus penonton yang menyukai filem ini.

Semenjak ditayangkan pada 15 Februari lalu, filem yang menampilkan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri sebagai pelakon utama dikecam hebat netizen yang rata-ratanya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kualiti filem ini.

Selain Aliff Syukri, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Aminah Rhapor.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top