Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Naqiu akan berada di S’pura 31 Disember

Ini berita baik buat para peminat yang masih belum puas mendengar suara garau juara bersama Gegar Vaganza 6, Naqiu Boboy.

Anggaran Waktu Membaca:
Naqiu akan berada di S’pura 31 Disember

Naqiu Boboy. (Gambar: Instagram/Naqiu/neonpixelofficial)

BERITAmediacorp: Ini berita baik buat para peminat yang masih belum puas mendengar suara garau juara bersama Gegar Vaganza 6, Naqiu Boboy.

Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Wan Najib, bakal ‘terbang’ ke Singapura untuk meluangkan masa dengan para peminatnya. Ini adalah kemunculan pertama Naqiu di Kota Singa sejak menjuarai GV6 pada Ahad (22 Dis).

Sesi Episod Cinta Meet & Greet Naqiu Boboy, yang dianjurkan oleh syarikat Ritzkey International itu, bakal berlangsung pada 31 Disember ini.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Naqiu yang mencatat sejarah menjulang mahkota GV6 bersama-sama Hady Mirza, mengesahkan bahawa beliau akan berada di sesi bertemu peminat itu.

“Ini adalah Meet & Greet pertama selepas saya habis GV. Saya nak sangat luangkan masa dengan peminat Singapura sebab banyak dapat mesej daripada peminat di Singapura yang nak berjumpa saya. Jadi inilah peluangnya,” kata Naqiu.

NAK DENGAR NAQIU NYANYI LAGI?

Para peminat bukan setakat dapat berbual atau ber’selfie’ dengan Naqiu. Mereka akan dapat menyaksikan secara dekat persembahan mantap Naqiu yang disifatkan oleh juri undangan GV, Rizalman Ibrahim sebagai penyanyi yang “semua deria berjalan satu masa” semasa menyanyi.

Pegawai pemasaran acara Ritzkey International, Encik Amani Hussein, memberitahu BERITAmediacorp, ini bukan sesi ‘meet & greet’ biasa-biasa.

“Kali ini saya buat sesuatu yang berbeza. Ada sebuah band ‘live’. Lain daripada yang lain. Selalunya, sesi seperti ini kalau ada nyanyian akan guna minus one, seperti karaoke,” kata Encik Amani.

Beliau menambah, persembahan Naqiu akan diiringi para pemuzik profesional Singapura. Ini termasuk pemain gitar handalan seperti Addy Cradle.

Naqiu dijangka mendendangkan sekurang-kurangnya tiga buah lagu dan buat pertama kalinya bakal digandingkan bagi lagu duet dengan penyanyi berbakat Singapura, Rahila Rashun, yang baru-baru ini menjuarai pertandingan nyanyian SG Mania.

Apabila ditanya sama ada Naqiu akan membuat kejutan dengan menyanyikan lebih banyak lagu, ini jawapan beliau:

“Itu bergantung kepada peminat yang datanglah,” seloroh Naqiu.

“Memang saya akan luangkan masa pada hari itu untuk mereka. Apa yang saya boleh katakan, hari itu akan penuh dengan kejutan,” tambah beliau.

Salah satu poster sesi Mett & Greet Naqiu. (Gambar: Ritzkey International)

TIKET MASIH BOLEH DIBELI

Encik Amani pula berkata, pihaknya menjangkakan sekitar 200 orang untuk ‘serbu’ sesi Meet & Greet Naqiu itu.

“Naqiu pun sudah lama menyepi dan kini mula aktif dalam industri semula. Jadi saya mahu mengakhiri tahun 2019 dan memulakan Tahun Baru 2020 dengan membawa Naqiu ke Singapura,” Encik Amani memberitahu BERITAmediacorp.

Tiket-tiket masih boleh dibeli pada dua harga promosi sempena kemenangan Naqiu dalam Gegar Vaganza pada Ahad lalu (22 Dis).

Pada harga S$99 dan para peminat akan menerima cenderahati berbentuk gelas yang tertera gambar Naqiu. Mereka juga boleh membeli tiket sahaja tanpa cenderahati pada harga S$79. Kanak-kanak bawah 10 tahun dikenakan bayaran S$69.

Acara itu akan berlangsung antara pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang di Muslim Delights, di Orchard Road. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan