Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nak belajar petik gitar ala Rosli Mohalim Sweet Charity? Ini kursus online untuk anda...

Teringin nak petik gitar tapi tidak tahu bagaimana? Ini peluang anda belajar main gitar. Gurunya pula bukan calang-calang orang.

Anggaran Waktu Membaca:
Nak belajar petik gitar ala Rosli Mohalim Sweet Charity? Ini kursus online untuk anda...

Gitaris legenda, Rosli Mohalim. (Gambar-gambar: Rosli Mohalim)

BERITAmediacorp: Teringin nak petik gitar tapi tidak tahu bagaimana? Ini peluang anda belajar main gitar. Gurunya pula bukan calang-calang orang.

Gitaris legenda kugiran rock Sweet Charity, Rosli Mohalim kini menganjurkan kursus belajar bermain gitar tidak kira bila dan di mana saja anda berada! Ini kerana kursus ini dikendalikan secara online.

Manalah tahu menerusi kursus itu anda rupa-rupanya ada bakat terpendam bermain gitar macam beliau atau sehebat pemain gitar sanjungan Ritchie Blackmore dari kugiran Deep Purple.

Namun, bagi yang baru hendak berjinak-jinak memetik gitar, anda perlulah mengikuti kursus gitar akustik peringkat asas - Guitar 101 Rosli Mohalim - terlebih dahulu. Rosli memberitahu BERITAmediacorp ia sesuai untuk semua peringkat usia “asalkan rajin”.

“Ia dapat membantu peserta yang baru mula belajar, untuk bermain melodi dan kumpulan kord asas di penghujung kursus asalkan mereka rajin dan sabar berlatih,” kata Rosli, yang berpengalaman lebih 40 tahun bermain gitar.

Selepas mendaftar, para peserta akan dapat mengakses video tutorial sebanyak 12 modul dan nota-nota ringkas. Mereka boleh memilih sama ada untuk mengikuti kursus enam bulan pada harga RM150 (SGD50) atau sembilan bulan pada harga RM210 (SGD70).

Pada hujung kursus, mereka akan menjalani ujian untuk dinilai pengetahuan dan pencapaian mereka secara berperingkat sebelum diberikan sijil tamat kursus.

Rosli memberitahu BERITAmediacorp, idea menawarkan kursus gitar online itu tercetus daripada seorang rakannya di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Namun ia tidak dapat direalisasikan ketika itu dek kesibukan tugas masing-masing.

“Alhamdulillah, awal tahun 2019 sahabat saya ini telah menghubungi dan menjemput saya untuk menyertai syarikat Training and Consulting beliau iaitu CRM Inovasi Sdn Bhd untuk menjayakan program pembelajaran online ini yang diberikan nama Guitar 101 Rosli Mohalim,” ujar beliau.

Video pemasaran memperkenalkan Rosli Mohalim sebagai jurulatih gitar.

Bagi Rosli, kursus online itu tidak lain hanya untuk beliau berkongsi ilmu dan pengalaman luasnya dalam bidang muzik, khususnya bermain gitar.

“Harapan saya program ini diterima dengan baik oleh masyarakat di luar sana dan menjadi titik permulaan untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam bidang muzik gitar ini yang telah saya ceburi lebih daripada 40 tahun,” kata beliau.

Beliau menambah, ini adalah kali pertama beliau mengadakan kursus seumpama itu. Rosli juga menyifatkan program yang akan bermula pada Isnin (15 Apr) itu sebagai fleksibel dan mudah dipelajari memandangkan ia mengikut masa yang boleh diluangkan oleh seseorang peserta.

Buat masa ini, Rosli hanya menghasilkan video-video tutorial dalam Bahasa Melayu. Namun berhasrat untuk memperluaskannya pada masa akan datang, termasuk mengadakan peringkat pertengahan (intermediate) dan lanjutan (advance).

“Program ini boleh diikuti oleh peserta di merata dunia. Cuma di peringkat awal ini, kami mulakan dengan versi Bahasa Melayu untuk mencungkil potensi peserta-peserta di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura,” tambah beliau.

Rosli memberitahu BERITAmediacorp, beliau berharap jumlah pelajar dapat mencecah 500 orang sebelum Aidilfitri tahun ini.

Bagi yang berminat anda boleh mendaftar melalui laman CRM Inovasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan