Images
  • mus may
    (Gambar: Facebook/Mus May)

Mus tinggalkan kugiran May

MALAYSIA: Berita sedih bagi peminat muzik rock 'kapak', terutamanya bagi peminat kugiran May - vokalisnya, Mus, mengesahkan tidak lagi bersama kumpulan itu.

Laman mStar dan Sinar Harian melaporkan Mus, atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 51 tahun, mendedahkan perpisahan antara beliau dan kugiran itu adalah sejak Januari lalu.

"Ya, saya kini bergerak solo dan tidak lagi bersama kumpulan May," kata beliau seperti dinukil mStar.

Menurut Mus, keputusan itu dibuat selepas keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sejak kebelakangan ini.

"Lagipun rata-rata tawaran yang saya terima adalah secara solo. Untuk tawaran persembahan secara kumpulan pun semakin berkurangan.

"Sebelum cerita tak sedap didengar selepas ini, lebih baik saya tarik diri," katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.

'ADA YANG NAK IKUT KEPALA SENDIRI, TAPI...'

Beliau yang ditemui semasa satu sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis (4 Jul), bagaimapun menegaskan tidak ada sebarang masalah antara beliau dan rakan-rakan seperjuangannya.

"Biasalah kalau sudah bergerak berkumpulan itu pasti ada yang nak ikut kepala sendiri. Tetapi itu kami selesaikan cara baik," kata beliau.

"Pengunduran saya ini diharap tidak timbul apa-apa rasa tidak puas hati mana-mana pihak sebab saya mahukan hubungan baik dengan mereka," Sinar Harian melaporkan beliau sebagai berkata.

Ini bukan pertama kali Mus meninggalkan kugiran May.

Beliau sebelum ini pernah menyertai kugiran Strangers dan Wings sebelum kembali bersama May pada 2002.

Jika disandarkan pada populariti beliau sepanjang bergiat dalam industri muzik meskipun kugiran mana beliau anggotai, mungkin satu sahaja yang ingin para peminat Mus katakan kepadanya: Ke mana sahaja hala tuju yang Mus pilih, Cintamu (sentiasa) Mekar di Hati.

- Agensi berita/TQ/tq

Top