Images
  • ramli sarip
    Album Bukan Kerana Nama. (Gambar: ramlisaripofficial/Instagram)

Mohd Bakri Johari, penulis lagu 'Bukan Kerana Nama' nyanyian Ramli Sarip meninggal dunia

SINGAPURA: Penggubah lagu popular 'Bukan Kerana Nama' Mohd Bakri Johari meninggal dunia hari ini. Lagu menusuk kalbu nyanyian 'Papa Rock', Ramli Sarip itu tidak asing lagi di kalangan para peminat muzik rantau ini.

Berita duka itu disampaikan sendiri oleh Ramli Sarip menerusi catatan Instagramnya hari ini (12 Feb).

"Innalillahiwainnalillahirojiuun.... Salam takziah buat keluarga Mohd Bakri Johari, Komposer juga Penulis Lirik lagu Bukan Kerana Nama telah kembali ke rahmatullah hari ini di Singapura," tulis Ramli Sarip.

Menurutnya lagi, lagu itu menyimpan kenangan manis baginya dan begitu popular dalam kalangan peminat.


"Lagu itu banyak memberi jasa kepada saya dan sering menjadi permintaan wajib dari (pihak) penganjur untuk apa juga majlis yang saya diundang," tambahnya.

Album Bukan Kerana Nama dikeluarkan Warner Music Malaysia pada tahun 1986 dan sehingga sekarang lagu itu masih dimainkan di stesen-stesen radio tempatan.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman... Aamiin," tambah Ramli Sarip.  

- BERITAmediacorp/AQ/aq

Top