Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Michael Lonsdale, pelakon watak jahat filem James Bond, meninggal dunia pada usia 89 tahun

Michael Lonsdale, yang namanya terserlah di layar perak dan teater di Perancis dan pernah bekerja dengan beberapa sutradara terunggul dunia dalam kerjaya lakonan beliau sepanjang 60 tahun, meninggal dunia pada Isnin (21 Sep) pada usia 89 tahun, kata ejennya.

Anggaran Waktu Membaca:
Michael Lonsdale, pelakon watak jahat filem James Bond, meninggal dunia pada usia 89 tahun

Gambar fail Michael Lonsdale dipetik pada September 2012 (Gambar: GABRIEL BOUYS/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2020 12:59PM Dikemas Kini : 22 Sep 2020 01:07PM

PARIS: Michael Lonsdale, yang namanya terserlah di layar perak dan teater di Perancis dan pernah bekerja dengan beberapa sutradara terunggul dunia dalam kerjaya lakonan beliau sepanjang 60 tahun, meninggal dunia pada Isnin (21 Sep) pada usia 89 tahun, kata ejennya.

Daripada watak jahat dalam filem James Bond pada tahun 1979, Moonraker hingga seorang paderi warga Perancis di Algeria dalam filem Of Gods And Men pada 2011, Lonsdale kerap menjayakan peranan sokongan yang cemerlang, di bawah pengarah hebat termasuk Orson Welles, Steven Spielberg, Francois Truffaut dan Louis Malle.

Anak kepada ibu warga Perancis dan bapa warga Britain, Lonsdale mempunyai suara yang lembut dan ketika usianya semakin matang, menampilkan jambang yang panjang. Kehidupannya tertumpu kepada seni. Lonsdale menjayakan lebih 100 filem dan jumlah sama bagi pementasan panggung, di mana beliau memulakan kerjayanya. Persembahan terakhirnya adalah dalam filem pendek tahun lalu untuk Opera Paris, Degas Et Moi (Degas And Me).

Lonsdale meninggal dunia di kediamannya di Paris kerana usia tua, kata ejennya selama 20 tahun, Olivier Loiseau, kepada The Associated Press.

"Ia agak dijangkakan," kata Loiseau dari agensi Aartis, yang baru-baru ini berbual dengan Lonsdale menerusi telefon. "Beliau masih bersemangat namun tubuhnya letih."

Filem Of Gods And Men arahan Xavier Beauvois merangkul anugerah Cesar di Perancis, yang setara dengan Oscar, bagi peranan sokongan terbaik yang dijayakan Lonsdale.

Dilahirkan pada 24 Mei 1931, minat Lonsdale terhadap layar perak berputik di Casablanca, Maghribi, tempat beliau menghabiskan sedekad usia mudanya bersama ibu dan bapanya. Beliau berkata GI Amerika yang dikerahkan ke sana semasa Perang Dunia Kedua memberinya gula-gula dan lawatan percuma ke pawagam. Beliau pernah memberitahu wartawan Perancis bahawa beliau terpesona oleh dunia perfileman dan industri itu menjadi impiannya.

Setelah pulang ke Paris pada 1947, seorang guru teater Rusia mengajarnya bahawa pelakon-pelakon juga mesti menunjukkan bahawa mereka boleh membawa watak jahat. Beliau membaling kerusi di dalam bilik hingga pecah.

Lonsdale tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak.

Sumber : CNA/AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan