Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Michael Buble jelaskan, berita ‘persaraannya’ dari muzik adalah palsu

Michael Buble menolak desas-desus yang menyatakan bahawa beliau akan bersara daripada persada muzik. Sebaliknya Buble menjelaskan bahawa beliau sebenarnya disalah tukil dalam satu wawancara baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Michael Buble jelaskan, berita ‘persaraannya’ dari muzik adalah palsu

Gambar fail penyanyi Kanada Michael Buble (Gambar: AP)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 03:05PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 03:10PM

LOS ANGELES: Michael Buble menolak desas-desus yang menyatakan bahawa beliau akan bersara daripada persada muzik. Sebaliknya Buble menjelaskan bahawa beliau sebenarnya disalah tukil dalam satu wawancara baru-baru ini.

Buble memberitahu The Associated Press pada Selasa (16 Okt) bahawa beliau tiada rancangan untuk bersara dalam masa terdekat. Beliau menyangkal wawancara pada 13 Oktober yang diterbitkan the Daily Mail yang mendakwa beliau akan berhenti menghasilkan muzik selepas mengeluarkan album terbarunya, "Love" pada 16 November.

Laporan itu membayangkan pemenang anugerah Grammy itu akan berhenti berkarya kerana anaknya, Noah, sedang menghidapi barah. Namun Buble berkata berita tersebut adalah palsu.

"Saya akan terus berkarya sehingga ada berita mengatakan bahawa saya meninggal dunia. Tapi berita itu mungkin palsu juga," kata Buble secara berseloroh.

"Pada waktu itu, baru benar-benar boleh dikatakan anda terkenal. Buble lepak bersama Elvis ... Buble dan Elvis sedang makan sandwic bersama," tambah beliau kepada AP, merujuk kepada pemuzik legenda Elvis Presley yang kematiannya didakwa sebagai tidak benar oleh sesetengah pihak yang mencetuskan pelbagai teori konspirasi.

Penyanyi asal Kanada itu berehat daripada perhatian khalayak ramai selama dua tahun untuk meluangkan masa bersama keluarganya sebelum merakam album studionya yang kelapan.

Beliau dan isteri, Luisana Lopilato, ada dua anak lelaki Elias dan Noah dan pada Julai ini menimang seorang cahaya mata perempuan bernama Vida Amber Betty.

Penyanyi itu memberitahu beliau mendapat tahu tentang laporan berhubung persaraannya apabila beberapa rakan-rakan mengirimkan pesanan teks. Sebagai respons, Buble memberitahu rakan-rakan itu: "Timbangkan dari mana sumber berita itu."

Buble menyifatkan laporan Daily Mail sebagai "kuasa negatif.” Beliau akur perkara begini lumrah dalam kehidupan seorang tokoh awam, namun beliau malas melayannya.

"Saya tak cukup kuat untuk melayan perkara-perkara ini, jadi saya tidak layan langsung," katanya.

"Kepada rakan-rakan yang menulis (teks) kepada saya, saya beritahu mereka. 'Terima kasih kerana ambil berat tentang diri saya. Tapi, tidak perlu kongsi berita ini dengan saya. Sebaliknya kirimkanlah gambar anak-anak anda dan kongsi khabar anda pula, kerana saya lebih gemar mendengarnya.'"

Michael Buble terkenal dengan album-album seperti "Come Fly with Me" dan "Caught in the Act".

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan