Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mediacorp kini rangkaian berbilang saluran pertama YouTube di S'pura

Mediacorp kini adalah rangkaian berbilang saluran (MCN) tempatan pertama di Singapura bagi para pencipta kandungan YouTube, sekali gus membuka laluan kepada lebih banyak peluang kerjasama.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Aug 2020 02:03PM Dikemas Kini : 27 Aug 2020 08:58PM

SINGAPURA: Mediacorp kini adalah rangkaian berbilang saluran (MCN) tempatan pertama di Singapura bagi para pencipta kandungan YouTube, sekali gus membuka laluan kepada lebih banyak peluang kerjasama.

Usaha tersebut akan mengukuhkan lagi program Player for Publishers (PfP) sedia ada syarikat tersebut bersama dengan YouTube, platform perkongsian video global terkemuka, menurut Mediacorp dalam kenyataan medianya pada Khamis (27 Ogos).

Seperti yang diumumkan sebelum ini pada Februari 2019, program PfP menawarkan pengalaman lebih hebat kepada penonton dan pengiklan Mediacorp melalui wadah hos video, penstriman dan pengurusan iklan.

Menurut Mediacorp, MCN akan dijenamakan semula sebagai "Bloomr.SG MCN" bagi mengiktiraf rangkaian Bloomr.SG sedia ada, yang menampilkan lebih 220 jam kandungan buatan tempatan.

Dengan pengembangan rangkaian pencipta kandungan YouTube, Mediacorp turut mendedahkan bahawa perikatan ini akan memacu dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pencipta kandungan tempatan terbesar di Singapura, sambil memperteguh komitmennya untuk memupuk bakat generasi seterusnya dalam ekosistem digital yang dinamik.

Kerjasama lebih luas dengan YouTube juga akan menjadikan Mediacorp sebagai rangkaian media serantau dan pengendali siaran percuma pertama dengan status MCN YouTube yang merupakan sebahagian daripada program PfP.

Mediacorp menambah bahawa Bloomr.SG MCN merancang untuk menyokong hampir 1,000 pencipta kandungan tempatan dari segi penerbitan dan pengewangan di samping mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran antarabangsa yang lumayan seperti Indonesia, Malaysia, Hong Kong, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Dengan bergabung bersama Bloomr.SG MCN, Mediacorp berharap para pencipta kandungan akan dapat mengakses pelbagai khidmat.

Ini termasuk program latihan dan penyertaan dalam projek kandungan yang besar, sumber-sumber dalam bentuk penggambaran dan sokongan studio, serta potensi memeterai kontrak sepenuh masa dan kerjasama dengan pencipta kandungan dan selebriti serantau.

Sementara itu, peluang pengewangan termasuk iklan premium, tajaan dan kandungan berjenama yang dijual oleh pasukan penjualan komersial berpengalaman Mediacorp, serta sokongan barang dagangan dan pengurusan hak.

Terdapat juga skop untuk mengembangkan hak intelek (IP) sosial dan latihan dalam kandungan baru bagi rancangan-rancangan di pelbagai platform YouTube dan Mediacorp.

Mediacorp turut mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan TheSmartLocal, salah satu penerbit media bebas terkemuka di Singapura, untuk mencipta kandungan yang mengutamakan media sosial yang menampilkan pencipta kandungan dan artis dalam rangkaiannya untuk program-program YouTube, 'over-the-top media' (OTT) dan platform siaran percuma (FTA).

"Ini akan menyokong usaha untuk mengenal pasti bakat baru, sambil membantu artis mapan Mediacorp mengukuhkan penonton media sosial dan jangkauan sosial mereka. Perincian lanjut akan diumumkan dalam masa beberapa minggu mendatang,” menurut syarikat itu.

Ketua Pegawai Komersial dan Digital Mediacorp, Parminder Singh berkata, kerjasama dengan YouTube akan membantu menawarkan lebih banyak pilihan dan akses yang lebih meluas kepada penonton kandungan tempatan.

Pengarah Rantau Asia Pasifik YouTube, Ajay Vidyasagar menambah bahawa beliau berharap kerjasama ini akan dapat merangsang pertumbuhan yang lebih dinamik dalam kalangan masyarakat pencipta kandungan di Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan