Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Mawi tidak sangka filem Tiada Tajuk arahannya dicalonkan dalam Anugerah Skrin 2019

Artis serba boleh, Mawi, tidak menyangka filem sulung arahannya iaitu Tiada Tajuk dicalonkan dalam Anugerah Skrin (ASK) 2019 yang bakal mencapai kemuncaknya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat (1 Nov) ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Mawi tidak sangka filem Tiada Tajuk arahannya dicalonkan dalam Anugerah Skrin 2019

Mawi menghadiri Sidang Akhbar ANUGERAH SKRIN 2019. (Gambar: cahayaasmawi/Instagram)

Diterbitkan : 30 Oct 2019 12:51PM Dikemas Kini : 30 Oct 2019 01:00PM

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Mawi, tidak menyangka filem sulung arahannya iaitu Tiada Tajuk dicalonkan dalam Anugerah Skrin (ASK) 2019 yang bakal mencapai kemuncaknya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat (1 Nov) ini.

Menurut penyanyi, pelakon dan pengarah tersebut, sebagai orang baru dalam bidang perfileman, sudah tentu beliau terharu apabila ada pihak menghargai karya yang dihasilkan berdasarkan minat itu.

“Saya menghasilkan filem berkenaan kerana minat dalam dunia perfileman, selain sebahagian daripada perancangan perniagaan.

“Justeru, saya tidak menyangka apabila ia turut dipilih untuk bersaing di ASK kali ini. Saya difahamkan, Tiada Tajuk layak bersaing dalam beberapa kategori, termasuk Lakon Layar Terbaik,” katanya kepada BH Online.

Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu berkata ketika menghasilkan filem, yang dilakonkannya sendiri bersama-sama Hazama, Joey Daud, Along Cham dan Amyra Othman, tidak terlintas di fikiran untuk memenangi sebarang anugerah.

“Jadi, apabila ada pihak melihatnya sebagai karya yang layak untuk dipertandingkan dalam anugerah seperti ASK, setidak-tidaknya usaha dan penat saya menghasilkan karya ini dirasakan berbaloi.

“Ketika ini, kalah atau menang bukan keutamaan kami. Sebaliknya, penghargaan atau pengiktirafan diberikan kepada naskhah terbabit sangat dihargai,” ujar Mawi, 38 tahun, yang mengarahkan filem berkenaan berdasarkan cerita tulisannya bersama Rahman Saharddin (idea asal) dan Ken Ridzuan.

Tiada Tajuk adalah sebuah filem bercorak komedi Islamik yang diterbitkan oleh syarikat Mawi World Entertainment. Ia ditayangkan di lebih 100 pawagan pada April lalu.

Sementara itu, Mawi yang turut membintangi Magika dan Munafik 2 - memberitahu BH Online beliau kini dalam fasa menyiapkan skrip filem terbaru.

“Saya memang mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem kedua. Ketika ini, tumpuan diberikan kepada penghasilan skrip terlebih dahulu sebelum saya memikirkan mengenai modal, cara penerbitan mahupun tarikh penggambarannya.

“Kali ini, saya ingin beralih ke genre mistik dan seram namun tetap mengekalkan elemen komedi. Saya sendiri ketika ini banyak menonton cerita seram bagi mencedok sedikit sebanyak ilmu pembikinannya, terutama dari segi teknik pencahayaan,” jelasnya.

Mawi menambah beliau juga akan mendapatkan pandangan pengarah dan pelakon terkenal yang juga sahabatnya, Syamsul Yusof, berhubung penghasilan filem tersebut. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan