Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Man Kidal impi konsert solo di Istana Budaya

Petikan gitar seorang legenda ini sering kali membuat orang ramai terpaku tatkala menonton persembahannya di atas pentas mahupun kaca televisyen.

Anggaran Waktu Membaca:
Man Kidal impi konsert solo di Istana Budaya

Gambar fail Abdul Rahman Mahmood atau Man Kidal.

Diterbitkan : 07 Sep 2019 11:43AM Dikemas Kini : 07 Sep 2019 11:46AM

PETALING JAYA: Petikan gitar seorang legenda ini sering kali membuat orang ramai terpaku tatkala menonton persembahannya di atas pentas mahupun kaca televisyen.

Setelah empat dekad memetik gitar menerusi tangan kirinya bersama kugiran Lefthanded yang popular dengan lagu seperti ‘Tiada Lagi Kidungmu’, ‘Ku Di Halaman Rindu’, ‘Seruan’ dan ‘Debunga Wangi’, nama Man Kidal terus meniti di bibir pencinta muzik tempatan.

Walaupun sudah mengecap pelbagai kejayaan bersama kugiran Lefthanded mahupun secara solo, namun Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 55 tahun, masih belum puas menghiburkan para peminatnya.

Lantaran itu, beliau mengimpikan sebuah konsert solo yang disifatkannya akan menjadi pelengkap dalam kembaranya sebagai seorang pemuzik.

“Saya sangat impikannya (konsert solo) namun ia bukan mudah kerana kos untuk melaksanakannya sangat tinggi tetapi saya percaya masanya akan tiba nanti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak jati Skudai, Johor itu berharap dapat menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Ramli Sarip, M. Nasir, Jamal Abdillah, Ella, Ruth Sahanaya, kumpulan D’ Masiv selain pemuzik antaranya Hillary Search, Joe Wings, Sham Kamikaze dan Rody Kristal dalam konsertnya.

Ditanya mengenai lokasi konsert, Man Kidal yang pernah menganggotai kumpulan Search memilih Istana Budaya kerana ia merupakan tempat yang berprestij untuk melakukan persembahan.

“Saya sudah banyak kali melakukan persembahan di Istana Budaya jadi saya sudah tahu keadaan tempatnya seperti susunan pentas dan sebagainya.

“Lokasinya juga dapat memberikan keselesaan kepada penonton dan ini akan membolehkan mereka untuk lebih menghayati konsert saya nanti,” jelas datuk kepada sembilan cucu itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak pihak yang berminat untuk duduk berbincang dan bekerjasama merealisasikan impiannya menjayakan konsert itu nanti.

Sementara itu, Man Kidal mengakui aksi memukaunya yang memainkan lagu Negaraku di hadapan lebih 80,000 penonton sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Julai lepas merupakan pengalaman paling berharganya sepanjang bergelar insan seni.

“Walaupun saya sudah memainkan beribu lagu, namun peluang memainkan lagu Negaraku sangat mencabar kerana saya membuat persembahan di depan kerabat diraja selain ribuan penonton di dalam stadium.

“Saya tidak sangka dapat peluang memainkan lagu Negaraku dengan gitar saya sendiri dan ia merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam hidup,” tambahnya.

Mengenai perkembangan terbaharu, beliau ketika ini sedang sibuk membuat persiapan bagi menjayakan konsert reunion Lefthanded yang akan diadakan pada Disember depan di beberapa lokasi di dalam negara.

Selain itu, Man Kidal juga mendedahkan bahawa beliau bakal menjalani penggambaran filem mengenai kisah hidup kugiran Lefthanded hujung tahun ini yang dijadual ditayangkan di platform penstriman digital online tahun hadapan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan