Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Maman "berjihad" hasilkan album kerohanian terbaru & termahal; duet 3 lagu dengan Nazrey Raihan

Penyanyi tempatan Maman bakal mengeluarkan album baru yang disifatkan sebagai “paling mahal dan yang terbaik setakat ini” dari beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Maman "berjihad" hasilkan album kerohanian terbaru & termahal; duet 3 lagu dengan Nazrey Raihan

(Gambar-gambar: Maman/Facebook)

BERITAMediacorp: Penyanyi tempatan Maman bakal mengeluarkan album baru yang disifatkan sebagai “paling mahal dan yang terbaik setakat ini” dari beliau.

Album terbaru yang menelan belanja "ratusan ribu ringgit" itu bercirikan kerohanian dan yang istimewanya ia menampilkan duet bersama seorang penyanyi dari kumpulan nasyid legenda, Raihan, iaitu Nazrey Johani. Bukan satu tetapi tiga daripada sembilan buah lagu dalam album tersebut merupakan duet dengan Nazrey! Iaitu lagu Nur Ilahi, Shadatain dan Kerinduan.

Yang pasti gabungan mantap Maman dan Nazrey dijangka menghasilkan halwa telinga yang luar biasa buat para peminat mereka apabila ia dilancarkan hujung tahun ini.

(Gambar-gambar: Maman/Facebook)

ISTIQAMAH MAMAN SELAMA 3 TAHUN

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, beliau yang nama sebenarnya ialah Rosman Lamri tetapi terkenal sebagai 'Maman Teacher's Pet' dalam kalangan peminat muzik, mendedahkan bahawa beliau diajak “berjihad” menghasilkan album yang diberi judul Istiqamah itu.

Manakan tidak, ia mengambil masa yang lama - iaitu selama tiga tahun untuk disiapkan. Ini semata-mata demi memastikan album yang dikeluarkan itu nanti bermutu dan ‘sampai’ ke hati para pendengar. 'Sampai' dalam erti kata menggugah jiwa pendengar.

“Rakaman lagu tidak begitu lama lah. (Tapi) pilihan lagu mengambil masa. Semasa kami memulakannya, pemilihan lagu yang paling penting. Saya juga ajak Nazrey (Johani) daripada kumpulan Raihan untuk menyanyikan tiga buah lagu bersama saya,” kongsi Maman, 49 tahun.

Istiqamah merupakan album kerohanian ketiga Maman. Dua yang lain adalah Hijrah (2008) dan Dzikir Alam (2014). Sebelum itu, beliau pernah mengeluarkan sebuah album solo - Di Suatu Hari Di Suatu Waktu pada tahun 1995. Album tersebut pernah memenangi anugerah album rakaman terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1996.

Selain itu, Maman banyak merakam lagu-lagu untuk filem, termasuk filem Layar Lara dan juga album kompilasi.

(Gambar-gambar: Maman/Facebook)

KECIL TAPAK TANGAN NYIRU MAMAN TADAHKAN

Pada tahun 2016 beliau dipelawa oleh Pengarah Muzium Pekan Pahang, Dato Farid Abdul Jalal untuk menghasilkan album Istiqamah. Ibarat kecil tapak tangan nyiru beliau tadahkan, Maman berasa amat berbesar hati. Lebih-lebih lagi apabila ia ditaja sepenuhnya oleh muzium tersebut.

“Dato Farid ini memang minat nak buat lagu-lagu kerohanian untuk menyampaikan mesej-mesej di sebalik lagu,” ujar Maman sambil merujuk kepada individu yang mengajaknya “berjihad” menghasilkan album Istiqamah itu.

“Alhamdulillah. Ada peluang lagi untuk menghasilkan album yang bermutu. Di zaman sekarang ini kita nak keluarkan album yang bagus-bagus bukan tidak boleh. Tetapi dananya agak terhad. Tidak macam dulu kita ada banyak syarikat rakaman yang percaya kita boleh buat album,” tambah beliau.

Kesemua sembilan lagu album Istiqamah ditulis sendiri oleh Maman. Penyanyi yang sinonim dengan lagu Warisan Wanita Terakhir dan Kasih Kupinjam Wajahmu itu juga mengambil peluang ini untuk mengetengahkan dua bakat tempatan, iaitu pemuzik Alhafiz Jamat pemain seruling serta akordion dan Azrin Abdullah pemain gambus.

Meskipun Istiqamah menelan belanja yang mahal - enam angka - Maman menekankan bahawa keutamaan album tersebut bukanlah semata-mata pada kutipan untung hasil penjualannya nanti. Sebaliknya, mesej-mesej rohani yang ingin ditiup ke dalam hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Ratus-ratus ribu (ringgit) itu baru rakaman audionya. Belum dia punya pemasaran, nak buat video dan lain-lain. Selama ini pun mereka dah belanja dekat RM200,000 lebih untuk album tersebut. Bagi saya itu baru tahap pertama untuk menghasilkan album itu.

“Yang penting kita tak payah ‘jual’ album itulah. Maksudnya bukan fokus untuk dijual. Bukan untuk mengambil keuntungan. Tapi untuk menyampaikan mesej-mesej (dalam album) tersebut. Jadi tak ada tekanan. Ini yang terbaik,” tambah beliau.

MENANGIS TERHARU DAPAT SAMPAIKAN WALAU SEBARIS AYAT

Bercerita lebih lanjut tentang pemilihan Nazrey sebagai teman duet dalam album Istiqamah, Maman memetik kekuatan yang ada pada penyanyi nasyid berkenaan.

“Nazrey mempunyai suara yang unik. Lagi-lagi kalau dapat lagu yang betul. Nombor dua, orang dan kenal dialah. Orang kenal dia dengan lagu-lagu kerohanian. Saya ini mungkin baru tiga album dan mungkin saya ini datang daripada lagu-lagu rock.

“Itulah sebab saya perlukan Nazrey dalam album ini. Saya pilih beliau. Memang dari dulu tahu sedap suara dia. Kebetulan ada niat itu dari dulu,” katanya kepada BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Maman/Facebook)

Salah satu ‘duet’ Maman dengan Nazrey yang berjudul Kerinduan menceritakan tentang rindu mendalam seorang insan kepada junjungan besar Nabi Muhammad. Ia juga melahirkan penghargaan kepada segala pengorbanan Rasulullah demi umat tercinta.

Lagu itu jugalah membuatkan Maman menitiskan airmata kerana begitu terharu dapat menyampaikan ‘dakwah’, walaupun sedikit, menerusi cara beliau tersendiri.

“Ada lagu ini saya tulis untuk Rasulullah. Sampai sekarang saya boleh mengalirkan airmata kalau saya mendengar lagu ini. Bukan sebab saya bangga (tapi) saya rasa saya beruntung dapat menyampaikan walau sebaris ayat daripada dia (Rasulullah).

“(Saya) bersyukur diberi kelebihan (ini) oleh Allah. Saya lebih senang jika segala penyampaian dalam seni mengarah ke Jalan Allah, insya Allah” cerita Maman lagi.

Antara bait lirik lagu tersebut berbunyi: “Darjatmu teristimewa membela nasib umat dunia walau di saat akhir hayatmu. Ku inginkan bersua denganmu, dalam mimpi dan jua jagaku. Setiap detik bersamamu.”

Jika dihayati sedalam-dalamnya lagu itu, ia akan meresap ke dalam hati dan menjadi “lebih bermakna”, menurut Maman.

Berikut ini juga salah satu lagu mungkin akan menarik perhatian dan menjadi siulan ramai, termasuk kanak-kanak. Lagu ini berjudul Shadatain.

HARAPAN BUAT PERSEMBAHAN BESAR-BESARAN/SOLO

Hakikatnya peralihan corak muzik yang disampaikan oleh Maman dari lagu-lagu bergenre rock kepada kerohanian bukanlah sesuatu yang baru. Lagu-lagunya dari zaman Teacher’s Pet lagi sudahpun terdapat bait-bait bersifat kerohanian cuma tidak secara meluas seperti sekarang.

“Adalah...cuma tak secara menyeluruh. Ibarat cakap main tepi-tepi saja dulu. Sekarang kita masuk dalam ke tengah,” seloroh beliau tetapi penuh makna.

“Saya rasa fakta umur itu satulah. Kemudian saya sedar yang paling penting, lagu-lagu seperti ini tak ada tarikh luput. Ia boleh menyentuh hati anda bila-bila masa sahaja. Bila-bila, 10 tahun lagi, sama saja.”

(Gambar-gambar: Maman/Facebook)

Dengan kelahiran album Istiqamah itu, Maman juga menyimpan harapan besar agar ia diterima baik dan sekaligus membuka peluang pertama untuk beliau membuat persembahan secara besar-besaran.

“Insya Allah kalau dapat diketengahkan. Lagu-lagu ini dapat tempat di radio, di hati peminat bolehlah saya buat persembahan live di Singapura. Saya rasa saya belum pernah dapat buat persembahan secara besar-besaran ataupun solo lah. Khususnya untuk ketengahkan album terbaru, Istiqamah.

Pemuzik/komposer mapan itu juga amat berharap lagu-lagu di dalamnya nanti dapat menusuk ke hati para pendengar sepertimana dirinya sendiri dapat ‘merasakan’ lagu-lagu tersebut.

“Saya berharap mereka menyukai album ini. Bagi saya ia bukan setakat dengar satu lagu dan itu sahaja. Harapan saya agar ia menyentuh hati mereka sepertimana ia menyentuh hati saya menulis lagu-lagu tersebut. Alhamdulillah saya rasa saya dah berikan yang terbaik untuk album ini.”

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan