Images
  • maleficent
    (Gambar: Agensi berita)

'Maleficent' tumpaskan 'Joker' di pawagam Amerika Utara

LOS ANGELES: Cerita dongeng terbitan Disney, ‘Maleficent: Mistress of Evil’, mengatasi ‘Joker’ dalam pertarungan watak jahat hujung minggu lalu, mengutip AS$19.4 juta (S$26.44 juta) di pawagam Amerika Utara, menurut pemerhati industri, Exhibitor Relations, pada Isnin (28 Okt).

Filem itu, sekuel kepada filem pecah rekod tahun 2014 dibintangi Angelina Jolie sebagai ahli sihir jahat masyhur dalam cereka ‘Sleeping Beauty’.

Kali ini, pelakon Michelle Pfeiffer turut menyertai senarai pelakon sebagai Ratu Ingrith.

Bagi hujung minggu kedua berturut-turut, ia berjaya mengatasi filem ‘Joker’ terbitan Warner Bros, yang dibintangi Joaquin Phoenix. Filem itu, memperoleh AS$19.2 juta (S$26.16 juta) bagi tempoh Jumaat hingga Ahad untuk berada di tempat kedua.

'Joker' sudah mengutip AS$850 juta (S$1.158 bilion) di seluruh dunia, menjadikannya filem berstatus R paling berjaya dalam sejarah, menurut majalah Variety.

Di tempat ketiga adalah ‘The Addams Family’ yang memperoleh kutipan AS$12 juta (S$16 juta).

Filem animasi komputer mengisahkan keluarga Addams dan anggota keluarga menakutkan itu menggunakan suara seperti Oscar Isaac, Charlize Theron, Snoop Dogg dan Bette Midler. 

- AFP/SU/ha

Top