Images
  • emmy
    Majlis Anugerah Emmy dibuat secara online. (Gambar: AFP)

Majlis Anugerah Emmy dibuat secara online

LOS ANGELES: Sehari selepas pencalonan Anugerah Emmy dibuat, Akademi Televisyen pada Rabu (29 Jul) memaklumkan kepada calon pilihan bahawa acara yang dijadualkan pada September itu akan diadakan online dek pandemik COVID-19.

Pengumuman itu sudah dijangka, berikutan perintah berkurung yang dikenakan akibat pandemik tersebut.

Anugerah bagi penerbitan televisyen itu setaraf dengan Oscar dan akan diadakan pada 20 September. Ia bakal menjadi acara penyampaian anugerah utama yang pertama diadakan di Hollywood sejak krisis COVID-19 bermula.

Pengacara program, Jimmy Kimmel dipilih mengacarakan anugerah itu, yang akan disiarkan secara langsung di ABC.

Dalam surat yang dihantar kepada calon terpilih dan disahkan kandungannya oleh jurucakap Akademi, para penganjur berkata keputusan itu terpaksa dibuat berikutan keadaan semasa.

"Walaupun tidak berpeluang berhimpun bersama, kami turut sedar bahawa dunia hari ini berdepan cabaran yang amat getir.

"Kami akan menghasilkan acara yang sarat dengan nilai kemanusiaan, dan meraikan kuasa televisyen yang membantu menghimpunkan semua orang serta membentuk dunia," menurut surat itu yang ditandatangani oleh penerbit acara dan Kimmel sendiri.

Menurut surat itu, pihak penganjur akan berhubung rapat bersama calon, merakam mereka di rumah dan lokasi lain.

- AFP/NA/na

Top