Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Main dram buatan sendiri, lelaki Indonesian ini tarik perhatian idolanya dari kugiran Dream Theater

Kisah ini membuktikan, jika ada bakat dan kemahuan, pasti akan berjaya: Bukan saja video Deden Noy tarik perhatian pemuzik asal, malah beliau dapat satu kejutan daripada idolanya...

Anggaran Waktu Membaca:
Main dram buatan sendiri, lelaki Indonesian ini tarik perhatian idolanya dari kugiran Dream Theater

(Petikan skrin: YouTube/Daden Noy)

Diterbitkan : 28 Mar 2021 12:44AM Dikemas Kini : 28 Mar 2021 12:55AM

INDONESIA: Bayangkan jika artis asal sesebuah lagu yang anda mainkan menyaksikan persembahan anda. Mungkin rasa segan sedikit-sebanyak terdetik di sudut hati. Lebih-lebih lagi jika anda gunakan alat muzik murahan saja berbanding alat yang dimainkan pemuzik profesional.

Namun bagi seorang lelaki Indonesia yang membina kit dramnya sendiri, dia bukan saja menarik perhatian idolanya, tetapi berjaya mendapat tajaan daripada syarikat dram ternama.

Sekitar setengah tahun lalu, Deden Noy memuat naik rakamannya memainkan lagu Metropolis Pt 1 oleh Dream Theater, menggunakan kit dram diperbuat daripada tong kosong, lapor laman hiburan LoudWire.

Persembahannya menjadi tular dan meraih sekitar sejuta tontonan dalam tempoh tersebut, sehingga baru-baru ini sampai ke perhatian Mike Portnoy, bekas pemain dram kumpulan tersebut.

Malah bukan lagu Dream Theater saja. Hanya dengan kit dram diperbuat daripada baldi, tong cat, pita plastik dan dulang besi, Noy sudah memuat naik banyak 'cover' lagu daripada pelbagai kumpulan rock dan metal seperti Avenged Sevenfold, System of a Down, Rush dan Guns n' Roses.

"Sejak beberapa minggu lalu, saya menerima RATUSAN (mungkin juga ribuan?) pesanan, mesej, teks, tag dan sebagainya dari penduduk seantero dunia menghantar saya pautan ke persembahan Deden Noy memainkan banyak lagu saya menggunakan dram buatan sendiri," tulis Portnoy di media sosial seperti ditukil laman Loudwire.

"Bakatnya sungguh menakjubkan, dan saya kini dalam proses mendapatkannya kit baru dengan sokongan dari Tama dan Sabian. Kami akan maklumkan anda lagi..."

Tama dan Sabian adalah antara jenama terulung dram dan simbal yang digunakan ramai pemain profesional.

Portnoy menyambung di ruang komen: "Walaupun saya berbesar hati melihat komen-komen gembira, penghargaan juga harus diberikan kepada pasukan hebat di Tama & Sabian kerana menyokong idea saya... malah, mereka yang perlu 'bekerja keras' uruskan hal ini. Kini, semua boleh henti hantarkan saya pautan!"

Noy merakamkan penghargaannya kepada Portnoy di laman Facebooknya sendiri.

"Rasa tidak percaya, tidak bisa berkata-kata.Terima kasih idolaku Mike Portnoy," tulisnya ringkas.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan