Images
  • aryan khan shah rukh khan son
    Anak Shah Rukh Khan, Aryan Khan, diiring pegawai pemerintah di luar pejabat biro anti dadah susuli satu serbuan pada 3 Okt 2021 (Gambar: AFP).

Mahkamah Mumbai tolak permohonan ikat jamin anak Shah Rukh Khan dalam kes dadah

MUMBAI: Sebuah mahkamah di ibu kota wilayah Maharashtra pada Jumaat (8 Okt) menolak permohonan ikat jamin ke atas Aryan Khan, 23 tahun, anak pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, serta dua lagi dalam kes melibatkan penyalahgunaan dadah.

Aryan Khan, Arbaaz Merchant dan Munmun Dhamecha ditahan pada 2 Oktober selepas polis melakukan serbuan di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai dan menemui dadah, menurut laporan media tempatan.

Aryan akan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai untuk menghabiskan hujung minggunya.

Menurut The Times of India, Biro Kawalan Narkotik (NCB) merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (ganja pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.

Lima lagi individu turut ditahan dalam serbuan tersebut termasuk dua wanita.

Para peminat yang berkumpul di luar rumah Shah Rukh Khan berkata mereka mendoakan agar Aryan dapat segera dibebaskan.

Banyak pelakon India dan personaliti TV berprofil tinggi diletakkan di bawah pengawasan pegawai narkotik sejak tahun lalu.

Pada September 2020, beberapa pelakon wanita popular disoal siasat NCB, meskipun tidak jelas sama ada siasatan masih berlangsung.

Beberapa personaliti Bollywood, termasuk pelakon Suneil Shetty, Hritik Roshan, dan Raveena Tandon mengkritik liputan media mengenai penangkapan Aryan. 

- Reuters/SU/tq

Top