Images
  • madonna glaad award
    Madonna berucap di Anugerah Media GLAAD ke-30 pada 4 Mei (Gambar: Jamie McCarthy/Getty/AFP)

Madonna teruskan persembahan di Eurovision meskipun ada seruan boikot

LOS ANGELES: Bintang Pop Madonna pada Selasa (14 Mei) menjelaskan keputusannya untuk membuat persembahan di Peraduan Lagu Eurovision Song di Israel minggu ini, dengan menyatakan beliau akan sentiasa lantang bersuara untuk mempertahankan hak asasi manusia dan berharap untuk melihat "jalan baru menuju keamanan".

Madonna dijadual membuat persembahan undangan pada Sabtu (18 Mei) semasa peringkat akhir pertandingan Eurovision di Tel Aviv. Tempat pertandingan itu mencetuskan seruan tindakan boikot oleh para aktivis penyokong Palestin yang mahu syarikat, artis dan pemerintah tidak terbabit dengan Israel.

Pertandingan popular Eurovision melibatkan penyanyi dari 40 negara dan ditonton sekitar 189 juta orang di 50 negara Eropah.

Dalam komen pertamanya mengenai keputusan untuk menyanyi di acara itu, Madonna berkata beliau penyokong semua bentuk hak asasi manusia.

"Saya tidak akan berhenti bermain muzik untuk memenuhi agenda politik seseorang dan saya tidak akan berhenti bersuara menentang pencabulan hak asasi manusia di mana sahaja mereka berada," kata penyanyi itu dalam satu kenyataan kepada Reuters.

"Saya sedih setiap kali mendengar tentang kehilangan nyawa tidak berdosa di rantau ini dan keganasan yang sering disebarkan untuk memenuhi matlamat politik pihak-pihak yang meraih manfaat daripada konflik yang berlanjutan sekian lama ini. Saya berharap dan berdoa agar kita tidak lama lagi akan bebas dari kitaran kemusnahan yang dahsyat ini dan membuka jalan baru menuju kedamaian, "tambahnya.

Israel menjadi tuan rumah bagi pertandingan Eurovision tahun ini selepas penyanyi tempatan Netta Barzilai memenangi pertandingan itu tahun lalu. Negara pemenang secara tradisi menjadi tuan rumah pada tahun berikutnya.

Madonna, 60, dijangka mempersembahkan dua lagu di Tel Aviv, satu daripada album Madame X yang akan dikeluarkan pada Jun. Beliau pernah melakukan konsert jelajah dunia ke Israel pada 2009 dan 2012, dan merupakan penganut satu bentuk kepercayaan mistik Yahudi yang dipanggil Kabbalah.

Yayasan Ray of Light yang diasaskan penyanyi itu memperjuangkan keadilan sosial dan pengupayaan wanita di seluruh dunia. Ray of Light turut menyokong beberapa projek bantuan Palestin.

Projek-projek ini termasuk membiayai gaji guru di sekolah-sekolah di Carikan Gaza melalui Agensi Pelarian Palestin PBB, UNRWA dan pinjaman mikro kepada petani wanita menerusi Persatuan Perdagangan Adil Palestin. Yayasan tersebut juga menyokong Americans for Peace Now, sebuah gerakan memperjuangkan huraian diplomatik secara damai bagi konflik Israel-Palestin.

- Reuters/TQ/tq

Top