Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu?" keluh Cef Wan

Para penduduk Kampung Felda Sungai Koyan 2 di Jelai hari ini (20 Jan) berpeluang merasai makanan hasil air tangan chef terkenal Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Cef Wan, yang memasak pada program "Jom Memasak Bersama Chef Wan".

Anggaran Waktu Membaca:
"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu?" keluh Cef Wan

(Gambar: Chef Wan)

Diterbitkan : 20 Jan 2019 09:59PM Dikemas Kini : 20 Jan 2019 10:04PM

KUALA LIPIS: Para penduduk Kampung Felda Sungai Koyan 2 di Jelai hari ini (20 Jan) berpeluang merasai makanan hasil air tangan chef terkenal Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Cef Wan, yang memasak pada program "Jom Memasak Bersama Chef Wan".

Cef Wan, yang juga anak peneroka Felda, meluangkan masa kira-kira satu jam bagi memasak menu ‘Spanish stew’ dan ‘Paella valencia’.

Turut hadir memeriahkan program itu ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran.

Encik Mohamed Azmin yang turut membantu Chef Wan memasak berkata kejayaan cef itu sehingga ke peringkat antarabangsa patut dijadikan contoh bagi anak peneroka Felda yang lain.

Beliau menasihati anak-anak peneroka Felda supaya terus bekerja kuat dalam mencapai impian mereka seperti yang dilakukan Cef Wan.

Encik Mohamed Azmin turut berseloroh dengan berkata beliau hanya tahu memasak rendang resepi ibunya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menasihati warga Felda supaya tidak terpedaya sekali lagi dengan janji palsu Barisan Nasional pada PRK kali ini.

“Lihat sahaja masalah peneroka Felda hari ini. Ini isu legasi (legasi lama) bukan masalah daripada kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi kita akan tetap tangani masalah-masalah yang membelengu Felda,” katanya.

CEF WAN KECEWA DENGAN BARISAN NASIONAL

Sebagai anak yang membesar di Felda, isu agensi kerajaan itu juga amat dekat di hati Cef Wan. Semasa hadir berkempen untuk PH, beliau dengan tegas menyuarakan rasa kekecewaannya terhadap Barisan Nasional (BN), terutamanya presiden parti itu Najib Razak.

Cef Wan berkata beliau tidak merestui langkah Felda memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah, semasa ia ditadbir kerajaan BN.

"Sebelum pilihan raya lalu, mak saya dapat RM5,000 (S$1,650) dan anak-anak Felda dapat RM5,000 (S$1,650).

"Mak saya kata, kerajaan bagi RM5,000 (S$1,650) (tapi) saya cakap pada dia, saya tak nak ambil duit tu. Itu duit rasuah," katanya, seperti dipetik oleh akhbar Malaysiakini.

Beliau menambah pemberian wang itu tidak bermakna jika pada kerajaan BN 'merompak' agensi terbabit sehingga menyebabkannya menjadi muflis, lapor Malaysiakini. 

"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!" katanya.

Menurut Malaysiakini, Jelai terletak di bawah kawasan parlimen Cameron Highlands dan adalah salah satu kubu kuat BN.

Pada tahun lalu, Encik Najib menyifatkan Felda sebagai melalui zaman kegemilangan ketika ditadbir oleh BN.

PRK parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta dua calon bebas.

PH meletakkan Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang manakala BN diwakili bekas pesara polis Ramli Mohd Nor. Dua calon bebas ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee. 

Sumber : Bernama/Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan