Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lorong Seni Seremban tarikan terbaru pelancong ke Negeri Sembilan

Permohonan dibuat kepada Buku Rekod Malaysia untuk menyenaraikan projek sepanjang 250 meter itu sebagai Lorong Seni terpanjang di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Lorong Seni Seremban tarikan terbaru pelancong ke Negeri Sembilan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Nov 2021 09:25PM Dikemas Kini : 06 Nov 2021 09:33PM

SEREMBAN: Selain destinasi pelancongan di Port Dickson, pengunjung kini boleh menikmati satu lagi tarikan terbaru di Negeri Sembilan, iaitu Lorong Seni Seremban.

Berkonsepkan ‘Returning The Street To The Public’, Lorong Seni Seremban sepanjang kira-kira 250 meter bermula di Jalan Dato Sheikh Ahmad sehingga ‘Benteng Walk’ itu, dihiasi lebih 30 corak lukisan mural menarik dan kreatif yang pastinya mengujakan pelancong, apabila menyusuri lorong serta bangunan-bangunan lama sekitar bandar Seremban.

Bagi pengunjung yang ingin menikmati pemandangan dan gemar berfotografi, Lorong Seni Seremban adalah tempat yang harus dikunjungi, bagi merakam gambar kenangan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Masri Razali berkata lukisan mural itu berkonsepkan pelbagai genre, grafiti, coret, avant-garde, poster, lukisan warisan oleh enam pelukis tempatan bagi menjayakan projek itu bermula 20 Ogos lepas, dan dijangka siap pada 26 Nov ini.

“Sepanjang tempoh itu juga melibatkan kerja-kerja mengecat mural, pendawaian lampu jalan dan lampu hiasan, menaik taraf tandas awam di bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), sebagai kemudahan kepada pengunjung.

“Selain itu kita ingin menyampaikan mesej kepada pengunjung menerusi paparan mural di dinding lukisan sepanjang di lorong berkenaan, bagi menentang stigma negatif terhadap lorong belakang dan seni grafiti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Mural di Lorong Seni pada Sabtu (6 Nov).

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan meluluskan peruntukan RM500,000 (S$162,300) bagi projek itu dan bazar Perpatih sebagai pusat informasi pelancongan.

Beliau berkata pihak MBS juga akan membuat permohonan kepada ‘Malaysia Books Of Records’ untuk menyenaraikan projek itu sebagai Lorong Seni terpanjang di Malaysia.

Encik Masri berkata dalam usaha merancakkan ekonomi di kawasan itu, pemilik perniagaan berpeluang membuka gerai di belakang premis mereka dengan menjalankan aktiviti jualan, hiburan dan riadah, terutamanya pada waktu malam kerana kawasan berkenaan akan diterangi dengan lampu hiasan.

Jelasnya, Lorong Seni itu juga menjadi satu laluan pintas yang menarik dan praktikal, bagi meningkatkan tahap aktiviti berjalan kaki dan ketercapaian serta merendahkan karbon dan suhu dalam bandar.

Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf longkang dan jalan di Lorong Seni Seremban diluluskan oleh Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dengan peruntukan RM500,000 (S$162,300), selain turut melantik perunding bagi membuat kajian pejalan kaki di bandar Seremban, melibatkan enam laluan utama termasuk Jalan Dato Bandar Tunggal, Jalan Yam Tuan, dan Jalan Tuanku Munawir.

“Kajian itu bertujuan melaksanakan konsep bandar selamat selain menerapkan konsep bandar berjalan, serta memperkenalkan konsep bandar mesra pelancong yang memudahkan pelancong menerokai keunikan bandar Seremban,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Suriani Abdullah, 36 tahun, ketika ditemui berkata Lorong Seni itu mempunyai pemandangan cantik dan menarik, untuk merakam gambar kenangan.

“Saya ingin bercuti ke Port Dickson, tetapi singgah sebentar ke sini untuk mengambil gambar kerana latar belakang lukisan mural ini sangat menarik. Lorong Seni ini sangat cantik dan unik seperti yang ada di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan