Images
  • lisa surihani
    Pelakon popular Lisa Surihani. (Gambar: Facebook/Lisa Surihani)

Lisa Surihani bertekad khatam Quran Ramadan ini

KUALA LUMPUR: Sepanjang Ramadan ini, pelakon popular, Lisa Surihani berusaha untuk khatam al-Quran dan beliau sudah mula melakukannya sejak dua tahun lalu, lapor Harian Metro.

Lisa berkata, keinginan itu mula timbul selepas melihat abangnya berjaya khatam al-Quran dalam bulan Ramadan dua tahun lalu.

“Usaha ini saya lakukan supaya dapat melatih diri untuk membaca al-Quran dengan baik. Saya akui tidak begitu lancar membaca al-Quran, bagaimanapun, berusaha untuk belajar dan memperbaiki bacaan dengan membaca setiap hari,” katanya.

Menurut Lisa, perkara itu tidak mudah dilakukan memandangkan sebagai wanita ada halangan yang menyebabkan dia tidak boleh membaca al-Quran.

Harian Metro melaporkan, dalam menghayati kalam Allah, Lisa turut memberi penekanan kepada maksud bagi setiap ayat yang dibaca.

“Al-Quran yang saya baca ini agak lengkap kerana ia ada tanda di bahagian tepi yang membimbing pengguna atau pembacanya bagaimana hendak membaca ayat dengan baik dari sudut hukum juga harakat bacaan,” katanya.

Menurut Lisa, dia tidak memaparkan atau berkongsi bacaannya di laman sosial kerana tidak mahu netizen terpengaruh dengan bacaannya yang kemungkinan ada kesilapan.

Bagaimanapun, dia sering berkongsi makna yang membawa maksud besar dalam setiap ayat yang dibaca. Selain membaca al-Quran, Lisa juga tidak ketinggalan melaksanakan ibadat sunat.

“Kebetulan rumah dekat dengan surau dan sesekali apabila berkesempatan saya akan menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, aktiviti itu turut dikongsi Lisa dengan dua cahaya matanya Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.

Bercerita mengenai perkara itu, menurut Lisa, setakat ini anak sulungnya Yahaira berusia tiga tahun sering mengikut apa yang dilakukan terutama solat.

“Apabila nampak saya memakai telekung, dia akan datang dan bertanya kepada saya bolehkah dia sembahyang bersama."

- Agensi berita/ZM/zm

Top