Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Leman Raja Lawak didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja 17 tahun

Dua hari selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bekas peserta Raja Lawak musim kelima, Sulaiman Ibrahim pada Jumaat (26 Julai) dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Leman Raja Lawak didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja 17 tahun

(Gambar fail: @bernamaradio/Twitter)

Diterbitkan : 27 Jul 2019 01:17AM Dikemas Kini : 27 Jul 2019 01:22AM

PUTRAJAYA: Dua hari selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bekas peserta Raja Lawak musim kelima, Sulaiman Ibrahim pada Jumaat (26 Julai) dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun.

Tertuduh yang dikenali ramai dengan nama 'Leman Raja Lawak' bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman, 38 tahun, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan di Puchong, pada 3.30 petang 6 April.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah berpakaian sut lengkap berwarna hitam dan memakai tengkolok di kepala, juga dituduh melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa sama dengan cara berbeza, di Taman Putra Permai Kota Perdana, Seri Kembangan, kira-kira 4.00 petang pada hari sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sulaiman didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

RAYU HUKUMAN DIRINGANKAN KERANA ISTERI SARAT MENGANDUNG

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali tidak mencadangkan sebarang ikat jamin atas alasan tertuduh mengenali dan mengetahui tempat tinggal mangsa.

Menurut Cik Norazalina, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau memohon syarat tambahan yang ketat dikenakan terhadap lelaki itu.

Peguam Muaz Zafar yang mewakili Sulaiman bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.

"Anak guam saya mempunyai pendapatan tidak tetap dan tidak menentu. Pohon jumlah jaminan yang rendah," katanya.

Mahkamah membenarkan Sulaiman dibebaskan dengan jaminan RM8,000 (S$2,600) serta seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

MAHKAMAH KENAKAN SYARAT KETAT

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati, menghubungi dan berkomunikasi dengan mangsa serta keluarga mangsa secara dalam talian dan apa cara sekalipun selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga perbicaraan selesai.

Pada 24 Jul, Sulaiman yang kini pengarah urusan sebuah syarikat produksi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya November tahun lalu.

Mahkamah Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 (S$1,300) dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan pengadu dalam kes itu selain menetapkan 6 September untuk sebutan semula kes.

Tertuduh menyertai rancangan realiti televisyen Raja Lawak pada 2012. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan