Images
  • allahyarham kassim selamat
    Penyanyi legenda pop yeh yeh Allahyarham Kassim Selamat (Gambar: Facebook/ Wadah Seni Entertainment)

Legenda pop yeh yeh Kassim Selamat meninggal dunia

BERITAmediacorp: Penyanyi legenda muzik pop yeh yeh Kassim Selamat meninggal dunia hari ini (26 Mei).

Allahyarham Kassim Selamat, atau nama sebenarnya Kassim bin Rahmat, meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Berita tentang pemergiannya disahkan oleh adiknya sendiri, Cikgu Abdolah Lamat yang dihubungi BERITAmediacorp petang ini.

Encik Abdolah kemudian menyerahkan telefonnya kepada salah seorang anak Allahyarham untuk menjawab pertanyaan media.

Menurut salah seorang anak perempuan Allahyarham yang enggan mendedahkan namanya, ayahnya meninggal dunia sekitar 3.30 petang di rumahnya di Yishun.

Jenazah Allahyarham dijangka akan disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan esok.

Allahyarham Kassim Selamat terkenal sebagai penyanyi utama kugiran Kassim Selamat & The Swallows.

Antara lagu-lagu popular kumpulan dari era 1960-an itu yang malar segar sehingga ke hari ini termasuk Nga Lompak A Go Go dan La O Be.

Laman media muzik setempat Bandwagon menyifatkan kumpulan the Swallows sebagai antara nama-nama tersohor era pop yeh yeh selain A Ramli & the Rhythm Boys, Siglap Five, M Osman & the Clans dan Jefrydin.

- BERITAmediacorp/tq

Top