Images

Lebih banyak peluang untuk finalis Projek Lagu ketengahkan karya mereka dalam rancangan hiburan; drama di Suria

SINGAPURA: Para finalis pertandingan Projek Lagu akan mendapat lebih banyak peluang untuk melihat karya-karya mereka diketengahkan dalam rancangan-rancangan hiburan dan drama di Suria.

Demikian menurut Ketua Audiens Melayu Mediacorp & Eaglevision, Cik Sabariah Ramilan.

Pertandingan mencipta lagu yang pertama di Suria itu bakal sampai ke kemuncaknya pada Selasa (9 Nov).

Selepas hampir dua bulan dalam pertandingan tersebut dan bersaing setiap minggu, empat finalis akan berentap untuk gelaran juara musim pertama dan wang tunai S$20,000 berserta trofi.

Para finalis terdiri daripada tiga pasangan Wawan Husen & Fairuz Rahim, Zul & Ariff, Aisha Ayesha & Andy Gan serta satu-satunya finalis solo, Yanto Sani.

"Saya rasa keempat-empat finalis ini adalah berbakat. Sebab mereka berjaya mengetengahkan berbagai genre kepelbagaian dari segi susunan muzik, dari segi lirik lagu, dari segi penyampaian dan peluang memang adalah terbuka luas bagi mereka untuk mereka terus maju ke hadapan untuk memperkayakan lagi persada muzik di Singapura," kata Cik Sabariah, semasa menghadiri sesi latihan para finalis pada Isnin (8 Nov).

Beliau menambah, sambutan yang diterima untuk pertandingan itu cukup menggalakkan menerusi respons yang diterima bukan sahaja dari penonton televisyen, malah di platform meWATCH dan stesen radio RIA 897.

2 LAGU DIPERSEMBAHKAN PADA MALAM PERINGKAT AKHIR

Untuk peringkat akhir itu, setiap finalis perlu membawa sebuah lagu yang belum pernah dipersembahkan dan sebuah lagi lagu dari minggu-minggu yang lepas pilihan para penonton.

Bagi pasangan Wawan Husen, 31 tahun dan Fairuz Rahim, 32 tahun, mereka bakal mempertaruhkan karya baru mereka berjudul 'Kali Terakhir' dan diharapkan lagu itu dapat membangkitkan semangat mereka yang mendengarnya.

Mereka juga menyifatkan lagu itu sebagai hasil karya di luar 'zon selesa' mereka.

"Lagu kami akan mengetengahkan khas untuk orang yang sentiasa rasa mereka keseorangan bila mereka ada masalah. Jadi jangan fikir anda keseorangan, kami pun rasa begitu juga. Jadi lagu ini adalah untuk anda dan untuk kami juga," kata Wawan yang akan menyanyikan dan bermain alat muzik keyboard dalam persembahan lagu tersebut bersama vokalis, Elsa Faith.

"Kelainan yang kami akan berikan adalah dengan pemilihan lagu dan juga penyanyi-penyanyi yang masih juga daripada rakan-rakan 'busker' kami. Pemilihan lagu adalah kali ini kami akan tetap menggunakan peluang ini untuk membuat lagu yang penuh dengan motivasi, inspirasi," tambah Wawan, yang berharap untuk bekerjasama dengan lebih ramai artis yang bakat mereka, belum lagi digilap.

Bagi finalis Zul dan Ariff, kedua-duanya berusia 29 tahun pula, mereka berharap 'senjata khas' mereka iaitu penyanyi muda berbakat, Danial Baharin untuk membawakan lagu 'Hadirku di Sini' dapat membuai perasaan para penonton.

"Untuk malam konsert akhir nanti di Projek Lagu, apa yang boleh dijangkakan adalah persembahan yang sangat mendayu, saya rasa. Kami ada letak unsur-unsur elemen Melayu seperti seruling, saya harap penonton, pendengar dapat merasakan kesyahduannya," kata Zul.

Selepas pertandingan ini, duo itu berharap mereka akan dapat bekerjasama dengan penyanyi tempatan Rahila Rashun dan Sufi Rashid.

Meskipun masing-masing Zul dan Ariff bukanlah pemuzik sepenuh masa, mereka berharap untuk terus bergiat dalam bidang muzik.

"Sudah tentu kita akan teruskan sebab kita pun sebelum ini kita sudah merancang lagu-lagu yang kita nak keluarkan untuk tahun depan," kata Ariff.

PENGADIL JEMPUTAN: DR AZMEER DAN HABSAH HASSAN

Selain perlu memikat hati para pengadil tetap, Ramli Sarip, Daly Filsuf dan Mayuni Omar, para finalis juga akan diadili oleh dua juri undangan dari Malaysia, komposer terkenal Dr Azmeer dan Habsah Hassan yang akan memberi komen kepada para finalis, secara maya.

Seperti minggu-minggu pertandingan yang lepas, markah daripada para pengadil membentuk sebanyak 70 peratus markah keseluruhan.

Justeru, satu-satunya peserta solo Yanto Sani, 38 tahun, cuba melakarkan strategi untuk memberikan persembahannya yang cukup memukau.

"Saya akan menonjolkan pertunjukan berunsur 'rok-orkestra' Ia akan menjadi satu persembahan yang gah malam esok," kata Yanto akan membawakan lagu berjudul 'Bebas'.

Namun begitu, dia yang bercita-cita untuk berkolaborasi dengan artis-artis mapan di rantau ini seperti Noh Hujan dari Malaysia dan juga Daly Filsuf, mempunyai perasaan bercampur baur tentang peluang kemenangan kerana barisan finalis yang hebat-hebat belaka.

"Sejujurnya dalam segi kreativiti dan keaslian, saya rasa saya boleh menang tapi dalam segi undian dan juga juri, saya tidak tahu kerana para finalis baik belaka. Untuk campur adukkan genre itu memang susah," jelas Yanto.

Sebagai sumbangannya untuk menyemarakkan lagi industri muzik tanahair, Yanto berkongsi dia akan menerbitkan lagu-lagunya dari Projek Lagu, tidak lama lagi.

Seperti Yanto, duo Aisya Ayesha, 24 tahun dan Andy Gan, 25 tahun juga menjanjikan persembahan yang unik di pentas nanti.

Antaranya, ia akan menampilkan beberapa kelainan di dalam satu lagu, yang belum pernah disaksikan penonton sebelum ini.

"Kita ada empat penyanyi yang akan berada di pentas. Saya juga akan menyanyikan bahagian 'rap'," kata Aisha, yang berharap untuk bekerjasama dengan penyanyi tempatan seperti Aisyah Aziz dan Tabitha Nauser.

Sebagai finalis yang termuda dalam pertandingan itu, Aisha merasakan keunikan mereka terletak kepada pemahaman genre yang lebih moden dan terkini.

Pasangannya, Andy yang berdarah kacukan Cina dan Jepun itu juga berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak muzik tahun pada masa hadapan.

"Kami berterima kasih kerana mara ke pusingan akhir. Saya fikir kita mempunyai peluang sama rata untuk menjadi juara dan saya ucapkan terbaik kepada semua," kata Andy.

Peringkat akhir akan disiarkan secara langsung pada 9 November jam 8.30 malam di Suria, meWATCH dan saluran 'Mediacorp Entertainment' di YouTube.

Sewaktu siaran langsung itu, undian juga boleh dilakukan mulai jam 9.15 malam hingga 10 malam menerusi pautan: mediacorp.sg/projeklagu.

Setiap orang dibenarkan untuk mengundi sehingga 20 kali.

Finalis dengan undian tertinggi juga akan membawa pulang wang tunai bernilai S$3,000. 

- BERITAmediacorp/sy

Top