Images

Lebih 400 penonton berpeluang saksikan konsert jaz lagu Melayu di Panggung Capitol

SINGAPURA: Malam esok (2 Okt) lebih 400 penonton berpeluang menyaksikan konsert 'Pesta Jazz: Meraikan Lagu-Lagu Melayu' di Panggung Capitol.

Konsert tersebut merupakan konsert fizikal terbesar lagu-lagu Melayu yang dianjurkan di Singapura tahun ini.

Anjuran Persatuan Jazz Singapura dan dipimpin ikon jaz tempatan Jeremy Monteiro selaku pengarah muziknya, sebanyak 12 buah lagu akan dipersembahkan.


Para penyanyi yang bakal naik pentas termasuklah Rahimah Rahim, Rudy Djoe, Siti Nur Iman dan Papa Rock Ramli Sarip. Ya, Ramli Sarip akan ber-jaz dan bukan rok!

"Lagu-lagu Melayu ini punya melodi amat indah. Jadi bila kita buat gubahan jaz ini, keindahan lagu itu terserlah," kata Jeremy.

"Dalam tahun-tahun 70-an Orkestra RTM, Dato Johari Salleh pernah lakukan perkara yang sama dengan lagu-lagu Melayu, dengan gubahan jaz. Tapi sudah bertahun-tahun kita tidak ada ini. Jadi sekarang kami membawanya kembali."

Menurut Rahimah Rahim, beliau dan para penyanyi lain akan menyampaikan sesebuah lagu itu bergantung kepada gaya gubahan Jeremy Monteiro.


Lagu-lagu klasik yang akan diberi nafas jaz termasuklah 'Widuri', 'Asmara', 'Getaran Jiwa' dan 'Enjit-Enjit Semut'.

Bagi Rahimah, konsert ini juga suatu 'pengubat rindu' baginya.

"Memang saya terujalah sebab dipilih jadi saya memang dah lama tidak nyanyi lagu jaz. Sebab saya lebih kepada pop kan sekarang. Saya di sini menyanyikan lagu-lagu nostalgia jaz sebab mengenang kembali kepada masa usia saya remaja," ujar Rahimah Rahim yang berkongsi bahawa Jeremy memang suka lagu jaz dan lagu Melayu Jaz dan mereka pernah menyanyi bersama.

Bagi Rahimah sendiri, antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikannya dalam konsert itu termasuk 'Jelingan Mata', 'Kenari Biru' dan 'Rindu Di Dalam Lagu'.

LAGU 'TERATAI' DIBERI NAFAS BARU

Penampilan istimewa konsert itu nanti ialah Ramli Sarip yang semestinya lebih dikenali sebagai papa rok daripada jazz.

Beliau akan menyanyikan lagu rok terkenal - 'Teratai' - yang diberikan nafas baru sentuhan jaz.


"Saya pernah satu kumpulan dahulu dekat Malaysia, mereka menyanyi di satu majlis perkahwinan tapi mereka nyanyi lagu 'Teratai' itu di-RnB ataupun di-jaz-kan. Saya tidak nampak benda itu sebagai suatu yang menarik.

"Tetapi bila 'big band' ini buat saya nampak ia lebih teratur dan lebih terbuka dan lebih besar, lebih kaya. Jadi baik untuk meneroka lagu-lagu yang kita rasa tidak boleh, tetapi boleh sebenarnya," kata Ramli Sarip.

Meskipun menyokong lagu-lagu Melayu diberi suntikan nafas baru, beliau menekankan pentingnya agar tidak mengubahnya secara keterlaluan, dan tetap menghormati hak ciptaan lagu tersebut.

Tambahnya lagi, konsert itu mengembalikan nostalgia manis bagi beliau dek jarang mengambil tempahan mahupun diundang untuk menyanyi di pesta jaz sebegitu.

Walaupun mengaku tidak tahu istilah menyanyi cara jaz, Ramli Sarip yakin tidak akan mengalami masalah untuk menjiwainya kerana memahami bahawa jaz adalah intipati daripada 'Blues'.

Beliau berharap para penonton akan terhibur dengan lagu-lagu malar segar dengan iringan gubahan jaz yang bakal dipersembahkan esok.

160 TIKET BELUM DIJUAL

Dalam pada itu, Jeremy akur bahawa terdapat banyak cabaran menganjurkan konsert itu ditengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini.

Antaranya termasuk memastikan keselamatan semua dan mengekalkan jarak selamat yang sepatutnya.

Dalam pada itu pihak penganjur menyatakan, masih ada lagi 160 tiket yang belum terjual bagi menonton konsert itu. Kapasiti penuh panggung tersebut untuk konsert ini ialah 435 penonton, menurut pihak penganjur. Tiket-tiketnya berharga S$38 dan S$58.

Sesiapa yang berminat untuk menghadiri konsert tersebut tetapi belum lagi menyempurnakan dua suntikan vaksin COVID-19 perlu menjalani Ujian Pra-Acara (PET). 

- BERITAmediacorp/na

Top