Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Lebih 15 artis tempatan bergabung jayakan konsert maya kumpul dana bagi penyanyi Nuradee

Prihatin atas ujian yang melanda penyanyi duo Nuradee, Mohamed Noor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nur, sekumpulan penggiat seni tempatan menggembleng tenaga bagi menjayakan sebuah konsert secara online.  

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 15 artis tempatan bergabung jayakan konsert maya kumpul dana bagi penyanyi Nuradee

Antara barisan artis yang bakal menjayakan Konsert Darurat Nuradee. (Gambar: Prihatin Singapura/Facebook)

SINGAPURA: Prihatin atas ujian yang melanda penyanyi duo Nuradee, Mohamed Noor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Nur, sekumpulan penggiat seni tempatan menggembleng tenaga bagi menjayakan sebuah konsert secara online.

Hasil sumbangan orang ramai yang akan dikumpul menerusi persembahan itu akan disalurkan untuk bantu meringankan kos rawatan dan pemulihan Nur.

Nur yang didiagnosis alami tumor atau ketumbuhan otak, koma selama sebulan di hospital dan dia sedar semula pada 14 September lalu.

Meskipun sudah dibenarkan pulang dari Hospital Besar Sengkang (SKH), Nur kini "hilang 50 peratus ingatannya" dan tangannya juga lumpuh ketika ini.

Malah konsert maya yang diberi nama "Konsert Darurat Nuradee" anjuran Prihatin Singapura, juga dirancang dalam masa agak singkat - dua minggu sahaja.

Pengarah konsert tersebut, pelawak Husin Saaban berkongsi: "Kebetulan penggiat seni Melayu Singapura dah merancang nak tubuhkan persatuan nama Prihatin. Tiba-tiba kita dapat berita tentang Nuradee.

(Gambar: Prihatin Singapura/Facebook)

"Bagi (Allahyarham) Alias Kadir, (kami) agak terlewat. Jadi dengan Nuradee, ia dirancang secara mendadak.

"Kita bincang untuk dua minggu sebab tak nak terlewat."

Oleh kerana Prihatin masih dalam rangka penubuhan dan pendaftaran rasmi sebagai pertubuhan di bawah Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS), dana yang dikumpulkan menerusi Konsert Darurat Nuradee akan disalurkan langsung menerusi PayNow ke akaun Cik Fizah yang bertindak sebagai penolong peribadi Nuradee.

Prihatin turut dipimpin pelakon Joe Jasmi dan Moliano Rasmadi pula bertindak sebagai timbalan presidennya.

(Gambar: Prihatin Singapura/Facebook)

Secara keseluruhan, pertubuhan tidak mengaut untung itu didukung 19 penggiat seni Melayu Singapura.

SASARKAN $30,000 BAGI RINGANKAN BEBAN KOS NUR

Dengan tujuan berhibur sambil beramal, Encik Husin juga berkongsi bahawa konsert tersebut menyasarkan pengumpulan dana sekitar $30,000 bagi membantu Nur.

Seluruh kos rawatan Nur di Hospital Gleneagles Medini Johor dan SKH dianggarkan berjumlah $80,000.

"Lebih daripada itu, bonus bagi kami. Kita nak membantu. Kalau boleh, kalau sambutan baik, ia dapat membantu melunaskan bayaran tertunggak.

(Gambar: Prihatin Singapura/Facebook)

"Kalau ada sambutan luar dugaan, bakinya kita akan salurkan untuk kos rawatan lanjutan kerana pergi balik hospital juga perlukan duit," jelas Encik Husin.

TAMPILKAN LEBIH 15 ARTIS TEMPATAN

Menampilkan lebih 15 artis tempatan, mereka yang bakal membuat persembahan termasuk Ramli Sarip, Moliano In Rock, Elfee Ismail, Rosalina, Alif Putra dan Didicazli.

(Gambar: Prihatin Singapura/Facebook)

"Kita bawakan barisan artis, di mana 80 peratus adalah daripada Projek Permata (bagi Allahyarham Alias Kadir) ke konsert ini, "kata Husin.

Elfee Ismail berkongsi: "Kami akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan mereka.

"Semoga kita dapat membantu Nur untuk melunaskan segala yang perlu dan kami rakan-rakan artis akan membuat yang terbaik untuk membantu Nur.

"Hari ini hari mereka, esok lusa mana tahu hari kita pula."

Pemain gitar Alif Putra pula bakal membuat persembahan bersama Addy Cradle, Ryzall Noh dan Ramli Sarip.

"Dalam masa sukar ini terutama sekali semasa COVID, ia mesti sangat sukar bagi Nur. Terutama sekali kerana dia pemuzik dan acara 'gig' dan persembahan juga kurang.

"Saya harap penyokong Nuradee dan artis yang membuat persembahan akan membantu memberi sumbangan yang ikhlas untuk sahabat kami Nur mengurangkan bebannya bagi kos pembedahan," kata Alif Putra.

Konsert itu akan dihoskan Rosley Jimaen serta Husin Saaban dan anaknya Raihan Husin.

Orang ramai boleh menonton konsert ini esok (22 Sep) di laman Facebook Prihatin Singapura bermula jam 8.00 malam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan