Images
  • seniwati dato sarimah
    Seniwati dan pelakon legenda Jalan Ampas, Dato Hajjah Sarimah. (Gambar-gambar: Freda Hassan)

‘Leave me alone’, biarkan saya dengan dunia saya, kata seniwati Sarimah

BERITAmediacorp: Apa khabar agaknya seniwati dan pelakon legenda Jalan Ampas, Sarimah? Beberapa minggu lagi, beliau akan mencecah usia 77 tahun. Lebih tepat lagi pada 28 April 2019 nanti.

Didorong keinginan mengetahui khabar beliaulah, BERITAmediacorp bertemu dengan beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kami dapat tahu, Sarimah sebenarnya masih menerima tawaran berlakon pada usia sebegitu. Namun beliau menolaknya.

Dalam temu bual ini, beliau seakan meluahkan isi hati beliau yang mungkin terpendam selama ini. Dengan suara yang sayu, beliau katakan:

“Saya mintak sangat pada mereka. Leave me alone. Biarlah saya dengan dunia saya. Saya tak kejar apa pun. Cuma satu saja saya mintak dengan Allah. Kalau boleh saya nak sangat menetap di Madinah. Bukan nak tinggalkan Malaysia. Saya nak ke Madinah untuk beribadah saja. Dalam setahun, ada dua atau tiga bulan (di Madinah).

“Belum ada rezeki lagi tapi saya percaya Allah akan tolong saya. Saya ingin sangat duduk di sana. Saya sayang sangat anak-anak, cucu cicit semua. Itu sajalah harta yang saya ada dan saya bersyukur pada Allah. Saya tidak ada harta benda lain. Anak cucu cicitlah yang saya harapkan mereka ada belas kasihan untuk mereka berikan Alfatihah untuk saya.”

MASA TERHAD, JANGAN MUFLIS DI AKHIRAT

Sarimah atau nama penuhnya Sarimah Ahmad, menambah bahawa masa beliau terhad sekarang.

“Bila anda sudah sampai ke satu usia, masa you terhad. Yang pentingnya, jalan saya satu iaitu nak kembali kepada Allah. Saya takut kalau di dunia ini saya muflis, tidak apa di dunia. Tapi kalau di akhirat saya muflis, siapa nak tolong saya?”

Itulah perkongsian ikhlas yang dituturkan oleh seniwati filem Melayu tersohor itu. Beliau ditemani oleh anaknya, Yusarima Puteri Yusof serta cucu-cucunya Sharifah Zahrah Syed Mahdi Barakbah dan Syed Umar Barakbah untuk temu bual bersama BERITAMediacorp.


Penulis bersama seniwati Sarimah dengan anak beliau Yusarima (berbaju merah) dan cucu-cucunya.

Penulis sempat bersamanya selama beberapa jam untuk menyelami isi hati pelakon yang dikenali dengan sifat keibuan dan penyayang itu. Sarimah terkenal di zaman gemilangnya kerana filem-filem lakonan beliau terutamanya bersama P.Ramlee.

Tapi itu dulu. Kini beliau banyak menghabiskan masa bersama anak-anak, cucu dan cicit-cicitnya.

TOLAK PELBAGAI UNDANGAN

Lantaran itu jugalah jarang sekali kita melihat kelibat seniwati veteran itu di sebarang acara sejak akhir-akhir ini. Sarimah tidak menafikan, beliau menolak beberapa undangan dari Singapura mahupun Malaysia.

Penolakan tersebut sempat menimbulkan tanda tanya mengenai kesihatan beliau sehingga ada desas-desus yang mengatakan kononnya beliau terlantar sakit sejak beberapa tahun lepas.

“Syukur Alhamdulillah, sebenarnya saya sihat-sihat seadanya. Terlantar sakit itu memang tidaklah. Masa itu (2010) saya kena sakit yang saya tak nak ingat. Waktu itu memang kritikal tapi waktu itu semangat saya kuat, saya survive dan sempat buat umrah. Setelah pulang, saya mula buat perniagaan supplemen,” katanya.

Perniagaan yang dimaksudkan itu adalah penubuhuan syarikat Primadona Worldwide Sdn Bhd.

SARIMAH MERAJUK?

Bercakap tentang dunia artis pula, Sarimah berkongsi bahawa beliau menceburi bidang lakonan lama sangat. Bahkan lebih separuh dari usianya. Persatuan pun pernah dianggotainya di Kuala Lumpur sebelum ini. Terangnya memberi bayangan:

“Adalah benda yang membuatkan hati saya tersentuh, nak kata merajuk tak merajuk. Kalau orang-orang kata saya dilahirkan di Barat sana, mungkin saya tersangat kaya sebab berapa banyak filem saya berlakon masa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.”

Namun, penerima anugerah Tokoh Seniman 2013 itu tidak menjelaskan secara terperinci apakah yang membuatkan hatinya “tersentuh”. Meskipun begitu, Sarimah mengatakan beliau tetap bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang beliau ada kini.


“Apa juga yang saya buat selain daripada bidang filem mendatangkan keberkatan pada hidup saya, ada barakahnya bermakna saya tak susah, adalah makanan,” ujarnya tanpa ragu-ragu.

Beliau menjelaskan panjang lebar bahawa setelah sekian lama mengabdikan diri kepada dunia lakonan, sudah tiba masanya untuk beliau berehat.

DULU BANYAK LALAI TERUTAMA DALAM IBADAH

“Kalau dulu masa saya muda, banyak sangat saya tinggalkan, banyak sangat saya lalai terutama dalam ibadah. Sekarang saya ada masa. Anak-anak dah besar. Saya pernah bercakap pada orang yang rapat dengan saya bahawa saya berlakon filem bukan nak mengejar populariti, bukan glamor, bukan mengejar duit.

“Saya cuma nak membesarkan anak-anak saya. Saya dilahirkan dalam keluarga yang orang tua saya akan tekankan agama. Banyak dugaan dalam filem ini bila you dah terkenal . Nak dikatakan saya baik sangat tidak, tapi saya tahu siapa saya. Saya tahu apa yang ada di dalam dada saya. Alhamdulilah saya lepas dari segala benda-benda yang tak baik dalam hidup,” cerita Sarimah kepada BERITAmediacorp.

Pelakon filem Ali Baba Bujang Lapok itu juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan prinsip beliau yang menolak sebarang undangan untuk acara-cara umum.

Katanya perlahan: “Saya rasa saya ini hak Allah, saya kepunyaan Allah. Saya tahu nanti orang akan benci saya, saya tak peduli. Siapa juga nak marah, benci saya, saya tak peduli. Yang penting adalah kasih sayang Allah pada diri saya. Saya mintak dengan Allah supaya diberi ketenangan dalam hidup saya. Saya rasa saya tak menyusahkan orang dan saya tak mintak apa-apa daripada orang.”

SARIMAH TOLAK PEMBERIAN ANUGERAH

Dalam usia 70-an kini, beliau tetap kelihatan anggun dan mempesonakan. Bahkan tidak jemu mata memandang lebih-lebih lagi dari jarak dekat. Apakah seniwati tersebut mengamalkan sebarang petua?

Sambil terdiam seketika, beliau sambung perbualan:

“Yang paling penting adalah hati. Apa saja dalam hati akan terpancar pada wajah. Saya menerima macam-macam fitnah daripada orang. Ada yang kata saya ada ilmu lah, mereka kata saya cucuk botox lah. Sebenarnya saya tidak ada apa. Saya tidak ada duit untuk itu.

“Kalau saya ada duit pun, saya tidak akan gunakan untuk itu. Baik saya bersedekah pada orang-orang susah. Itulah benda-benda yang membuat saya sedih.”

Di kesempatan tersebut, beliau turut berkongsi bahawa masih ada pihak yang ingin memberikan anugerah kepadanya sebagai penghargaan kepada seniwati tersebut. Namun, beliau menolak dengan baik atas alasan ini.


“Pada saya anugerah daripada manusia tidak ada makna bagi saya. Anugerah dari Allah yang saya bersyukur padaNya. Tuhan bagi saya banyak anugerah. Saya ada 6 anak, 35 cucu dan 17 cicit. Ada dua lagi cicit akan datang. Saya cuma nak kasih Allah. Terima kasih banyak pada yang nak bagi anugerah, saya menghargai tapi saya tak nak.”  

- BERITAmediacorp/fz

Top