Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Laris! Konsert kenang artis-artis legenda Melayu di Marine Parade

Artis-artis legenda dan klasik Melayu sudah lama tidak beraksi di pentas, malah ramai sudahpun meninggalkan kita semua. Tetapi para peminat masih mengingati, menyanjungi dan menghargai mereka hingga kini.

Anggaran Waktu Membaca:
Laris! Konsert kenang artis-artis legenda Melayu di Marine Parade

Penggerak dan penyokong kuat acara tersebut. (Gambar: Ismawati Ismail)

Diterbitkan : 18 Aug 2018 02:24PM Dikemas Kini : 18 Aug 2018 02:33PM

BERITAmediacorp: Artis-artis legenda dan klasik Melayu sudah lama tidak beraksi di pentas, malah ramai sudahpun meninggalkan kita semua. Tetapi para peminat masih mengingati, menyanjungi dan menghargai mereka hingga kini.

Nama-nama gah seperti P.Ramlee, Saloma, Mariani, S. Shamsudin, Zaiton, Momo Latiff, Normadiah, Aziz Jaafar, dan ramai lagi, semua artis–artis berbakat dari Jalan Ampas, suatu ketika dahulu pernah memeriahkan dunia perfileman Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an di layar perak yang suatu masa dulu.

Atas dasar ini, seorang bekas pelakon kanak-kanak dari Jalan Ampas sendiri, Cik Habibah Haron, atau lebih dikenali dengan panggilan Lela Manja, bakal mengadakan sebuah konsert Rentak Kalong Senandong, pada Ahad ini (19 Ogos) di Kelab Masyarakat Marine Parade.

Lela Manja penganjur utama konsert Rentak Kalong Senandong. (Gambar-gambar: Ismawati Ismail)

Ini demi untuk mengingati artis-artis klasik di Jalan Ampas, dan berhibur bersama artis-artis tanahair dan juga dari Malaysia. Acara menarik ini juga dianjurkan bersama dengan kerjasama Kelab Peminat P. Ramlee Singapura, diketuai oleh Encik Yusof Ahmad.

Konsert Rentak Kalong Senandong berharga $20 setiap satu. Namun semua tiket sudah habis dijual. Bonda Bedah atau bakat setempat yang terkenal di laman media sosial, Lepak One Korner, Hafidz Abdul Rahman, bakal menghoskan acara tersebut.

HARAP ANAK MUDA TERUS INGATI JASA ARTIS LAMA

Menurut Lela Manja, kini berusia 70 tahun, beliau dibesarkan dan didedahkan ke arena seni dan berlakon bersama MFP sejak berusia 10 tahun lagi. Antara lakokannya yang memberi kesan sehingga kini adalah watak sebagai Lela Manja, di dalam judul filem yang sama, menjadi anak tiri kepada pelakon Normadiah. Filem ini ditayangkan pada tahun 1960, dan diarahkan oleh Jamil Sulong.

Bukan itu sahaja, beliau juga berkesempatan berlakon di samping seniman agung P.Ramlee sendiri, di dalam filem Bujang Lapok, Anakku Sazali, Sarjan Hassan dan banyak lagi.

“Seperti ungkapan lama, patah tumbuh, hilang berganti. Begitulah juga dengan artis-artis veteran kita yang masih hidup ini lagi. Sumbangan artis-artis di Jalan Ampas ini memang tiada tolak tandingnya, sungguh hebat! Mereka berkarya dari hati, seni mereka penuh dengan keikhlasan, dan mereka semua sungguh perfectionist!

Lela Manja juga berkata, bagi artis-artis legenda di zaman dahulu, mereka berkarya bukan kerana wang ringgit semata-mata. Malah menjadi popular atau lebih dikenali pun, tidak pernah mereka pinta.

“Saya tahu, kerana saya sendiri pernah menyaksikannya dan membesar di sana. Saya hanya berharap anak-anak muda di zaman sekarang boleh mempelajari sesuatu dari artis-artis lama ini, dan akan terus mengingati jasa dan penglibatan mereka yang telah menghiburkan dan memeriahkan dunia seni Melayu di Singapura, suatu masa dahulu,” jelas Lela Manja dengan hiba.

Penggerak dan penyokong kuat acara. 

Lela Manja berharap dengan adanya konsert sebegitu, generasi muda dapat mempelajari dari pengalaman mereka dan juga mengenali pengorbanan artis-artis klasik kita pada zaman dulu.

PERNAH TUBUH PERSATUAN ARTIS LAMA PADA 1993

Lela Manja juga menekannkan sebuah persatuan bernama Arveras pernah ditubuhkan pada tahun 1993, oleh Allahyarham Kassim Masdor dan penulis lirik tanah air, Yusnor Ef.

Arveras tambah beliau pernah menganjurkan beberapa aktiviti nyanyian dan persembahan lain, malah persatuan ini juga berdaftar. Pelakon Hasyimah Yon sendiri pernah menjadi ‘orang kuat’ dan penggerak bagi persatuan tersebut, dan disusuli oleh Lela Manja sendiri sebagai pelapisnya.

Walaupun Arveras sudah lama menghilang, dan hanya nama yang dikenang, legasi Arveras tetap teguh di hati Lela Manja:

“Saya masih bergerak sendirian dan cuba mengumpulkan artis-artis lama kita yang masih sihat dan kuat, untuk bertemu para peminat mereka ataupun menerima undangan untuk acara-acara yang privet bagi penampilan khas, artis-artis lama ini.

Beliau menambah bahawa bukanlah penghormatan, sanjungan atau wang yang diminta dari masyarakat.

“Cukuplah hanya mengingati penglibatan mereka dan doakan semuga kesihatan artis-artis veteran kita yang masih hidup ini seperti Zaiton, Hasyimah Yon, Zaini Sattar, M.Wari, Wahid Satay dan beberapa lagi untuk terus kekal sihat, dan jasa mereka usahlah dilupakan atau dipinggirkan begitu sahaja,” jelas Lela Manja lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan