Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kumpulan pop 2D kembali temui peminat dengan 2 konsert berbeza di WGS

Jika anda peminat lagu pop tempatan pada lewat 1990-an, pasti anda kenal dengan kumpulan 2D yang popular dengan lagu-lagu seperti 'Cenderawasih' dan 'Seindah Syurgawi'.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan pop 2D kembali temui peminat dengan 2 konsert berbeza di WGS

Para anggota 2D dari kiri Rayhul Firdaus, Ruslighani Iskandar, Rifa'ah Ridzuwanulhakim dan Adeep Nahar. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Jika anda peminat lagu pop tempatan pada lewat 1990-an, pasti anda kenal dengan kumpulan 2D yang popular dengan lagu-lagu seperti 'Cenderawasih' dan 'Seindah Syurgawi'.

Manakan tidak, kumpulan yang dianggotai lima jejaka itu amat digemari masyarakat kerana membawakan lagu-lagu tradisional dikir barat yang dimodenkan.

Bakat mereka bukan saja diiktiraf masyarakat bahkan turut menerima anugerah di edisi pertama Anugerah Planet Muzik menerusi kategori Lagu Terbaik Singapura.

Kini setelah 20 tahun sejak menggemparkan dunia muzik tanah air, 2D kembali bukan dengan satu tetapi dua konsert yang akan diadakan di Wisma Geylang Serai!

KONSERT PENGUBAT RINDU PEMINAT SEMPENA ULANG TAHUN KE-20

"Sebenarnya ramai tertanya-tanya, mana hilang 2D dan konsert ini bukanlah dalam perancangan kami tetapi kerana terdapat peluang ini, kami mengambilnya dan harap konsert ini dapat mengubati sedikit perasaan rindu peminat," kata anggota 2D, Rayhul Firdaus.

Mengulas lebih lanjut, Rayhul berkata 2D sebenarnya tidak pernah secara sepakat memutuskan untuk dibubarkan cuma minat masing-masing terhadap muzik pada suatu ketika dahulu membuat mereka mencari haluan seni sendiri.

Namun begitu, beliau amat menghargai 2D yang dibina atas tali silaturahim, yang sekaligus membuat kelima-lima anggotanya masih saling berhubungan dan mengadakan persembahan meskipun ada kalanya tidak kesemua anggota dapat turut serta.

Lantaran itu, konsert pertama yang berjudul "2D Continued" itu boleh dianggap istimewa bagi peminat mereka kerana konsert tersebut akan menampilkan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan mereka dahulu dan juga satu single terbaru.

Rayhul menambah: "Kemungkinan besar kami akan mempersembahkan lagu single terbaru nanti. Ini adalah kali pertama lagu itu bukan saja dipersembahkan tetapi juga dinyanyikan secara langsung bersama."

KESEMUA ANGGOTA 2D AKAN 'TURUN' BUAT PERSEMBAHAN

Bagi kedua-dua konsert yang bakal diadakan, kesemua anggota 2D akan membuat persembahan termasuk Adeep Nahar, yang sudah menjadi penggiat seni sepenuh masa di Malaysia.

Adeep menyertai kumpulan terkenal Malaysia, The Fabolous Cat, selepas 2D tidak lagi aktif. Beliau kemudian bergerak solo dan kini mempunyai kelas vokal sendiri di seberang tambak.

Pada tahun lalu juga, Adeep mendapat tempat kedua dalam pertandingan realiti Gema Gegar Vaganza 2 yang menampilkan penyanyi-penyanyi hebat seperti kumpulan nasyid Brothers dan Awi Rafael.

Menurut Adeep, penyertaan beliau dalam kedua-dua konsert itu nanti bukan saja kerana peminat di sini tetapi juga demi anggota 2D yang lain.

"Saya sebenarnya banyak kali menghampakan 2D kerana sebelum ini banyak juga persembahan 2D yang diajak bersama tetapi saya tidak dapat menyertainya atas komitmen keluarga, kerja dan kesihatan. Alhamdulillah kali ini dapat turut serta," kongsinya.

2 KONSEP KONSERT YANG BERBEZA

Menurut mereka, dua konsert yang akan diadakan kelak akan membawa konsep yang berbeza.

Konsert pertama iaitu "2D Continued" bakal diadakan secara percuma pada 5 Oktober dan konsert tersebut akan dipersembahkan bersama Orkestra Melayu Singapura.

"Gabungan ini menjanjikan satu kelainan dari aspek penyusunan lagu dan pembawakan juga. Jadi para peminat akan dapat rasa dan lihat kelainan 2D dahulu dan sekarang, selain daripada kami sekarang semuanya sudah tua," seloroh Adeep.

Pada masa yang sama, konsert pertama itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada kegiatan sempena Bulan Bahasa yang dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai.

Konsert yang kedua pula akan ditampilkan dalam suasana yang lebih intim dan tiket akan dijual bagi konsert tersebut.

Menurut Rayhul, bagi konsert kedua pula, mereka akan mengadakan sesi suai kenal dan soal jawab selepas setiap lagu supaya para peminat dapat mengenali susuk lain 2D dan mengetahui sejarah setiap lagu yang didendangkan.

Butiran mengenai kedua-dua konsert itu akan dimaklumkan melalui wadah media sosial kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan