Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan dikir barat Durbar Dua pertahankan gelaran Juara Mega Perdana

Dengan tema 'Tak Tumbuh, Tak Melata' dipilih bagi pertandingan ini yang memasuki edisi ke-11, sebanyak 12 kumpulan finalis terus menyerlahkan kematangan dan daya kreativiti yang cukup menghiburkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan dikir barat Durbar Dua berjaya mengalahkah 11 pasukan lain untuk sekali lagi muncul sebagai juara pertandingan dikir barat kebangsaan, iaitu Mega Perdana 2019.

Dengan tema 'Tak Tumbuh, Tak Melata' dipilih bagi pertandingan ini yang memasuki edisi ke-11, sebanyak 12 kumpulan finalis terus menyerlahkan kematangan dan daya kreativiti yang cukup menghiburkan.

Setelah sekitar empat jam berentap, ternyata juara bertahan, kumpulan Durbar Dua, masih belum dapat ditumbangkan dan sekali lagi ditabalkan sebagai juara pertandingan dua tahun sekali itu.

Durbar Dua membawa pulang piala dan wang tunai $7,000 dengan dua buah kumpulan lain di bawah naungannya juga beraksi dalam pentas final.

"Alhamdulillah kemenangan tahun ini lebih istimewa sebab kami hantar tiga kumpulan iaitu dua kumpulan lelaki dan satu kumpulan wanita dan ketiga-tiga mara ke peringkat akhir dan salah satu daripadanya mendapat juara. Jadi kami rasa puas hati," kata Pengasas Durbar Dua Encik Rezal Ramli.

Gelaran naib juara pula jatuh ke tangan kumpulan Makyong Kedek yang membawa pulang hadiah $4,000.

Bukan itu sahaja, piala Tukang Karut Terbaik juga disandang oleh Muhd Safuan Maswan daripada Makyong Kedek. 

Tempat ketiga direbut kumpulan Kelana Purba dengan hadiah $2,000 manakala piala Tok Juara Terbaik diberikan kepada Fadzli Abdul Rashid, kumpulan Chingchingching.

Pertandingan akhir ini turut mendapat sokongan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, dan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Maliki Osman yang sama-sama menjadi penonton.

Kesemuanya lebih 900 orang memenuhi Gateway Theatre untuk menonton pertandingan tersebut.

Dr Maliki yang menjadi tetamu kehormat melahirkan rasa gembira dan bangga melihat bagaimana para peserta termasuk yang sudah bekerja dan berumahtangga mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab keluarga untuk menyemarakkan seni ini di Singapura.

"Saya rasa kita harus berbangga kerana kita lihat dengan adanya seni dikir barat ini, lebih ramai lagi yang menunjukkan nilai-nilai sedemikian kerana bukan mudah untuk mereka membahagikan masa untuk berlatih untuk peraduan sedemikian," kata Dr Maliki.

Mega Perdana seterusnya akan kembali pada tahun 2021.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan