Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kumpulan berbilang kaum O.M.A muncul juara Anugerah 2021

Ditubuhkan hanya dua hari sebelum tarikh akhir uji bakat Anugerah, kumpulan muzik O.M.A mengatasi saingan untuk tampil sebagai juara musim ke-11 pertandingan mencari bakat anjuran Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan berbilang kaum O.M.A muncul juara Anugerah 2021

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Apr 2021 02:26PM Dikemas Kini : 10 Apr 2021 02:27PM

SINGAPURA: Ditubuhkan hanya dua hari sebelum tarikh akhir uji bakat Anugerah, kumpulan muzik O.M.A mengatasi saingan untuk tampil sebagai juara musim ke-11 pertandingan mencari bakat anjuran Mediacorp.

Menampilkan para anggota berbilang kaum, O.M.A (One Metre Apart) terdiri daripada vokalis dan pemain gitar Abdul Thaqif Bani, pemain keyboard Ho Zhi Ren, pemain dram Anson Koh Soon Yew, pemain gitar Sures s/o Ravindran dan pemain bass Chia Chong Yu.

Kumpulan itu menewaskan para peserta peringkat akhir yang lain iaitu Saát, Ace Iskandar dan Raliff Ismail untuk merangkul piala juara dan hadiah wang tunai S$25,000 di peringkat akhir pertandingan itu pada Jumaat (9 Apr).

Pemenang tempat kedua Saát menerima piala dan hadiah wang tunai sebanyak S$8,000 manakala pemenang di tempat ketiga Ace Iskandar dan pemenang tempat keempat, Raliff Ismail masing-masing mendapat piala dan hadiah wang tunai sebanyak S$5,000 dan S$3,000.

Keempat-empat finalis dipilih setelah melalui persaingan sengit selama 10 minggu yang menyaksikan 18 penyanyi solo dan kumpulan berdepan penyingkiran setiap minggu.

Bagi peringkat akhir, O.M.A mendendangkan lagu Salam Terakhir yang dipilihnya sendiri dan Sinaran, iaitu lagu yang dipilih oleh pengadil Najip Ali dan Ann Hussein serta pengadil undangan dan penyanyi rok veteran 'Papa Rock' Ramli Sarip.

Kemenangan O.M.A menutup tirai musim Anugerah yang bukan sahaja menggabungkan edisi-edisi rancangan itu sebelum ini - seperti Anugerah Band dan Anugerah V - tetapi ia juga menarik penyertaan daripada lebih ramai peserta berusia 16 hingga 60 tahun.

Peringkat akhir Anugerah 2021 juga menampilkan persembahan dari bekas juara Singapore Idol dan Asian Idol Hady Mirza di samping persembahan oleh juara-juara Anugerah lalu iaitu Hyrul Anuar (2005) dan Mohd Shahfiq (2017).

"Kami berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para peserta dan peminat mereka sepanjang beberapa bulan lalu," kata Cik Sabariah Ramilan, Ketua Audiens Melayu Mediacorp & Eaglevision.

"Walaupun Anugerah 2021 berakhir malam ini, ini hanya permulaan perjalanan bagi O.M.A dan bakat-bakat lain yang telah kita tonjolkan sepanjang pertandingan ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada O.M.A dan kesemua finalis!" katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan