Images
  • sanisah huri clsoe up

Konsert solo Sanisah Huri 19 April ini dibatalkan, menurut penerbitnya PERKAMUS

SINGAPURA: Kurang tiga minggu sebelum konsert solo biduanita Sanisah Huri berlangsung, pihak penerbitnya iaitu PERKAMUS mendedahkan bahawa ia “tidak dapat diteruskan” atas sebab-sebab tertentu.

Penangguhan atau pembatalan konsert Sanisah Huri itu berlaku kerana ada pertikaian antara pihak PERKAMUS dengan pihak penganjurnya, iaitu syarikat Taps Events & Entertainment.

Khabar mengejutkan itu didedahkan sedang Sanisah juga berduka cita kerana pemergian ibunya, Hajjah Aneda Rafiah, 91 tahun, yang meninggal dunia pada Selasa (2 Apr). Peristiwa sedih ini menimbulkan tanda tanya sama ada konsert pada 19 April itu akan diteruskan kerana penyanyi veteran itu sedang berkabung.

Hakikatnya, berita pembatalan atau penangguhan 'Sanisah Huri Live In Concert’ itu dijangka menghampakan para peminatnya kerana ramai peminat penyanyi tersebut sudah membeli tiket.

BERITAmediacorp dimaklumkan, sebenarnya sekitar 80 peratus tiket konsert di Panggung Capitol itu sudah terjual menerusi SISTIC. Panggung tersebut boleh memuatkan 1,000 penonton.

NARATIF BERBEZA ANTARA PENGANJUR KONSERT DENGAN PERKAMUS

Semasa BERITAmediacorp menghubungi, Taps Events & Entertainment, pihaknya menyatakan ia "bersedia menimbangkan" penangguhan konsert itu jika ia atas permintaan Sanisah Huri sendiri demi menghormati pemergian ibu beliau sekali gus memberinya ruang untuk berehat sejenak.


Sanisah Huri (Gambar: Rusedah Tawahid)

Namun ketika kami menghubungi PERKAMUS dan bertanya sama ada keputusan tidak meneruskan konsert tersebut ada kaitan dengan pemergian ibu kepada biduanita Sanisah Huri, jurucakapnya menjawab ia tiada kaitan.

Sebaliknya ia mendedahkan bahawa berita mendukacitakan itu hanyalah "satu kebetulan" sahaja dan pada dasarnya, konsert itu memang sedang dibelenggu pertikaian antara kedua-dua pihak.

PERTIKAIAN YANG BATALKAN KONSERT - DARI PERSPEKTIF PERKAMUS

PERKAMUS kemudian berkongsi dengan BERITAmediacorp kenyataan media di mana ia menyatakan “dengan berat hati” dan “kecewa dengan keputusan” tidak meneruskan konsert tersebut.

Ia menyatakan: "Selain wujud ketidaksefahaman, di antara Penganjur dan PERKAMUS, Penganjur juga didapati tidak menepati perjanjian dan tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk meneruskan konsert ini."

"PERKAMUS dan semua kru yang terlibat terpaksa menarik diri kerana Penganjur gagal untuk memberikan pembayaran pendahuluan 50% bagi kos-kos kerja permulaan.”

Ia menambah bahawa untuk tidak merumitkan lagi keadaan badan itu memutuskan untuk tidak lagi menyokong atau menyertai konsert itu. Konsert solo besar-besaran itu sepatutnya adalah yang pertama buat Sanisah Huri dalam kerjaya seni beliau sejak 52 tahun lalu

PERKAMUS, iaitu Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura juga menyatakan ia "ingin meminta maaf kepada semua para peminat yang telah menyokong konsert" Sanisah Huri itu.

Bagi para peminat yang sudah membeli tiket dan mungkin ingin tahu tentang pemulangan wang mereka, PERKAMUS menyatakan bahawa pertanyaan mengenai hal itu perlu dirujuk kepada pihak penganjur, iaitu Taps Events & Entertainment.

KONSERT SANISAH HURI KINI TERKUBUR?

Jadi adakah konsert Sanisah Huri ini akan terkubur atau masih akan dianjurkan pada masa lain?


(Gambar: Facebook/Sanisah Huri)

Pihak PERKAMUS memberikan sedikit bayangan. Menurutnya ia mengharapkan bahawa "sebuah lagi konsert yang baru bakal diadakan di masa terdekat ini”.

Dalam perbualan telefon dengan BERITAmediacorp, jurucakap badan itu menyatakan dengan lebih pasti, bahawa sebuah konsert Sanisah Huri akan diadakan nanti.

Butiran lanjut mengenai tarikh konsert baru itu bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Sejauh manakah pertikaian antara pihak Penerbit dan Penganjur konsert Sanisah Huri itu sudah sampai ke peringkat tuntutan guaman?

Di pihaknya, PERKAMUS mengeluarkan amaran bahawa ia "tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Penganjur mengenai perkara tersebut”.

- BERITAmediacorp/tq

Top