Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Sanisah Huri di Esplanade hujung bulan ini dibatalkan sekali lagi

Konsert biduanita Sanisah Huri yang dijadual berlangsung pada 29 dan 30 Oktober ini di Dewan Konsert Esplanade kini dibatalkan akibat sekatan-sekatan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Konsert biduanita Sanisah Huri yang dijadual berlangsung pada 29 dan 30 Oktober ini di Dewan Konsert Esplanade kini dibatalkan akibat sekatan-sekatan COVID-19.

Menurut penerbit The Esplanade Co Ltd, Cik Hanie Nadia Hamzah, acara tersebut dibatalkan "selaras dengan langkah-langkah pengurusan selamat masyarakat yang diperketatkan bagi menstabilkan situasi COVID-19 bermula 27 Sep 2021".

"Melihat kepada fasa Singapura sekarang ini, warga emas berusia 60 ke atas adalah golongan terdedah.

"Bagi persembahan ini, artis Sanisah Huri dan kumpulan penonton kebanyakannya warga emas.

"Demi keselamatan orang ramai, kami terpaksa membuat keputusan sukar untuk membatalkan persembahannya pada 29 dan 30 Okt 2021," kata Cik Hanie kepada BERITAmediacorp.

Pengumuman mengenai pembatalan acara "Sanisah Huri - The Lady in Concert" itu baru dibuat beberapa hari lalu.

Dengan pembatalan ini, konsert Sanisah Huri sudahpun tiga kali dibatalkan sejak tahun 2019 atas pelbagai sebab.

(Gambar: Sanisah Huri/Facebook)

Dalam jawapan bertulisnya kepada BERITAmediacorp, Sanisah berkongsi perasaannya tentang pembatalan ini: "Saya reda dengan keadaan sekarang di mana bilangan gejala COVID-19 bertambah terutama sekali di antara warga emas seperti saya."

"Ini juga untuk keselamatan semua. Insya-Allah jika keadaan mengizinkan, saya akan bertemu dengan peminat-peminat yang saya rindui."

Legenda Pop Yeh Yeh zaman 60-an itu bakal menginjak usia 70 tahun pada Januari tahun depan.

Orang ramai yang sudah membeli tiket akan dipulangkan wang mereka sepenuhnya oleh pihak SISTIC.

(Gambar: Sanisah Huri/Facebook)

Sebelum ini, Sanisah Huri juga dijadual membuat konsert semasa Pesta Raya pada Jun lalu, namun turut dibatalkan akibat COVID-19.

Pada 2019 pula konsert solo penyanyi itu kerana ada pertikaian antara pihak PERKAMUS dengan pihak penganjurnya, iaitu syarikat Taps Events & Entertainment.

PERSIAPAN SUDAH CECAH 80%

Konsert Sanisah Huri - The Lady in Concert bertujuan meraikan pencapaian salah seorang ikon hiburan terbesar Singapura melalui perjalanan dan kerjayanya sejak lebih 50 tahun yang lalu.

(Gambar: Sanisah Huri/Facebook)

Penolong peribadi Sanisah dan pengarah konsert, Cik Rusedah Tawahid malah berkongsi bahawa persiapan sebenarnya sudahpun hampir siap.

"Dari segi persiapan, kita tengah tinggal butang sahaja. Tekan butang dan raptai sahaja. 80 peratus dah siap," kongsi Cik Rusedah.

Sebanyak 25 lagu sepatutnya didendangkan Sanisah sendiri, yang antara lain popular dengan lagu Sejak Ku Bertemu Padamu, Si Baju Hijau, Siapa Gerangan dan Aidilfitri.

(Gambar: Sanisah Huri/Facebook)

"Kita dah 'all out', persembahan 90 minit oleh beliau seorang sahaja.

"Kalau dengan jarak selamat COVID-19, sehingga 250 penonton boleh saksikan. Saya rasa tiket sudah habis dijual kerana ada yang berkongsi mereka nak beli, tak boleh beli," kongsi Cik Rusedah.

"Agak sedih sedikit tapi nak buat macam mana... Kalau diizinkan, kalau dia sihat, insya-Allah (akan buat konsert)."

TARIKH SESUAI MUNGKIN BAKAL DIUMUMKAN

Menurut pihak Esplanade, mereka sedang berbincang rapat dengan Sanisah dan pasukannya bagi tarikh-tarikh sesuai dalam bulan-bulan mendatang untuk mengadakan konsert itu.

"Kami mengalu-alukan untuk mengadakan konsert ini dalam masa terdekat dan mengumumkan kepada para peminat beliau apabila rancangannya sudah dimuktamadkan," jelas Cik Hanie.

Sanisah Huri mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia 15 tahun.

Sepanjang kerjaya seninya sejak lebih 50 tahun lalu, beliau sudah merakamkan lebih 120 lagu, yang mana kebanyakannya menjadi 'hit' hingga ke hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan