Images
  • M Nasir Satu Hikayat
    Petikan poster konsert 'M Nasir, Satu Hikayat'. (Gambar: Facebook/M.Nasir)

Konsert M Nasir dilanjutkan satu malam lagi

KUALA LUMPUR: Berita baik bagi para peminat seniman tersohor M Nasir yang tidak berkesempatan membeli tiket konsert solo beliau 'M Nasir, Satu Hikayat' pada 23 November yang sudah habis dijual.

Astro Awani melaporkan, penganjur konsert berkenaan, Shiraz Projects Sdn Bhd akan menambah satu lagi persembahan yang akan diadakan pada 24 November ini.

Berita itu dikongsi oleh M Nasir pada Sabtu.

Menurut penghibur yang terkenal dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mentera Semerah Padi itu, keputusan untuk menambah persembahan malam kedua semata-mata kerana enggan menghampakan para peminatnya.

M Nasir ditukil laman berita Astro Awani sebagai berkata: "Alhamdulillah, atas permintaan ramai yang menyebabkan penambahan malam kedua pada 24 November ini. Mungkin kerana peminat sudah lama tidak menyaksikan konsert solo saya."

"Jadi saya rasa inilah masanya buat para peminat yang sebelum ini sedih dan mengeluh kerana malam pertama 'sold out' untuk mendapatkan tiket mereka dengan kadar segara. Dua malam untuk sama-sama menyusuri 40 tahun perjalanan muzik saya dalam satu hikayat," ujar M Nasir dalam kenyataan yang diedarkan.

Konsert yang bakal diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu adalah sebagai mengenang suka-duka 40 tahun M Nasir bergelar anak seni.

Konsert tersebut merupakan penghargaan terbesar artis berusia 62 tahun itu kepada peminat-peminat yang selama ini banyak memberi sokongan.

Di konsert 'M Nasir, Satu Hikayat' itu kelak, komposer legenda itu juga bakal mendendangkan lagu-lagu yang pernah dihasilkannya buat penyanyi solo dan kumpulan terkenal tanah air, lapor Astro Awani.

Persembahan M Nasir akan diiringi kumpulan muziknya yang dikenali dengan The Gong yang mana Aznan Alias akan bertindak selaku pengarah muzik.

- Agensi berita/ZM/zm

Top