Images
  • exists
    Gambar: Instagram/Along Exists

Konsert Exists di S'pura pada 2 Dis selepas 10 tahun menyepi

MALAYSIA: Kumpulan muzik yang terkenal pada zaman 1990an, Exists, akan kembali menghiburkan peminat mereka dalam sebuah konsert yang bakal diadakan di Singapura pada 2 Disember ini.

Menurut Malaysiakini, konsert itu tidak seharusnya dilepaskan oleh para peminat Exists kerana ia dirancang tidak mengikut kebiasaan.

Setiap lagu akan disuntik sedikit pengubahsuaian dan dipersembahkan dalam konsert sekitar sejam itu.

Kali terakhir Exists mengadakan konsert di Singapura adalah 10 tahun lalu, manakala di Malaysia pula adalah pada 2013 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Pemain dram Exists, Ujang, berkata latihan bagi konsert itu dijangka bermula pada November nanti.

"Kami akan memulakan sesi latihan pada bulan November ini kerana ketika ini setiap anggota Exists masih sibuk dengan jadual masing-masing," ujar beliau kepada Malaysiakini.

Konsert yang diberi nama Throwback Exists akan berlangsung di Far East Square Singapore pada 7.00 malam.

Lagu-lagu popular seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terselah Ayumu termasuk dalam senarai lagu untuk didendangkan kepada para peminat.

Artis yang mula mencipta nama melalui aplikasi Smule, Khai Bahar, juga akan turut menyerikan konsert berkenaan.

Malaysiakini menyatakan konsert itu adalah usaha sama antara CMX International dan Frankoland Management.

Menukil wakil Frankoland, konsert Throwback Exists diadakan bagi mengubat rindu peminat yang sering bertanya mengenai kugiran kegemaran mereka itu.

"Itulah sebabnya juga kami namakan konsert ini Throwback Exists, selain membuktikan kumpulan itu masih wujud dan bersedia bertemu peminat mereka." 

- Agensi berita/ru

Top