Images
  • siti nurhaliza (1)
    Penyanyi Siti Nurhaliza. (Gambar fail: BERNAMA)

Konsert amal bantu penggiat seni raih dana hampir RM80,000

BALIK PULAU: Konsert Amal Orkestra Tradisional Malaysia bersama penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin, yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Prince of Wales Island pada malam Isnin (22 Jul) berjaya mengumpul dana kira-kira RM80,000 (S$26,477).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata konsert bersempena Festival Balik Pulau 2019 itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu penggiat-penggiat seni yang berada dalam kesusahan.

Menurutnya, jumlah kutipan yang diperolehi daripada hasil jualan tiket dan penaja itu akan disalurkan kepada Tabung Amanah MOTAC untuk membantu golongan artis yang memerlukan.

"Saya belum dapat jumlah yang tepat namun kutipan hari ini mencecah antara RM50,000 (S$16,545) hingga RM80,000. Kita sasarkan untuk membantu seramai 10 orang penggiat seni yang dalam kesusahan.

"Kita akan mengadakan satu sesi pertemuan dengan artis-artis yang akan dibantu. Kita akan beri sumbangan dalam bentuk wang ringgit - terserah kepada mereka untuk menggunakan bagi kegunaan harian, biaya kos perubatan dan sebagainya,” terang Encik Muhammad Bakhtiar lanjut.

Dalam konsert itu, Siti Nurhaliza mendendangakan empat lagu dengan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia yang dikendalikan oleh konduktor orkestra, Mohd Yazid Zakaria.

Konsert tersebut turut diserikan dengan persembahan tiga artis tempatan iaitu Asmidar, Rojer dan Azmir Arif.

Encik Muhammad Bakhtiar berkata penggiat seni yang dalam kesusahan wajar dibantu kerana jasa mereka dalam bidang seni perlu dihargai walaupun mereka sudah tidak aktif akibat dimamah usia atau ditimpa kesusahan.

Beliau berkata pihaknya berterima kasih kepada semua penaja yang membantu menjayakan konsert tersebut termasuk Siti Nurhaliza yang bermurah hati memberikan semula separuh daripada wang bayarannya untuk disalurkan ke dalam tabung berkenaan.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata beliau mengimpikan untuk mengadakan Konsert Lentera Timur buat kali kedua sekiranya diberikan kesempatan dan berharap impian itu dapat direalisasikan pada tahun depan.

Konsert Lentera Timur buat julung kalinya diadakan di Istana Budaya pada 2013. Konsert itu diadakan selama empat malam berturut-turut yang jumlah persembahan 30 lagu.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top