Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert 20 Tahun Dayang Nurfaizah di S’pura pada 28 Disember ini

Apakah daya tarikan penyanyi Dayang Nurfaizah sehingga boleh diibaratkan sebagai besi berani? Ini kerana setiap kali berkonsert, tiket-tiketnya terjual dalam sekelip mata sahaja, lebih baik jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi popular lain.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah daya tarikan penyanyi Dayang Nurfaizah sehingga boleh diibaratkan sebagai besi berani? Ini kerana setiap kali berkonsert, tiket-tiketnya terjual dalam sekelip mata sahaja, lebih baik jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi popular lain.

Dayang, yang pernah digelar sebagai ‘Beyonce Malaysia’, turut menjadi rebutan penganjur-penganjur konsert sejak akhir-akhir ini. Persis artis antarabangsa, sebanyak 1,400 tiket konsert Dayang di Kuala Lumpur dijual dalam masa beberapa jam sahaja.

Bercakap tentang konsert Dayang, para peminatnya di Singapura tentu masih ingat lagi kehampaan mereka apabila gagal mendapatkan tiket konsert penyanyi tersebut dua tahun lepas di Esplanade. Ini jawapan Dayang apabila ditanya tentang gelaran ‘besi berani’ itu.

“Ya ke? (ketawa). Saya pun tak tahu sebenarnya sebab ini kali pertama Dayang dengar daya tarikan besi berani. Yang Dayang tahu setiap kali berkonsert Dayang cuba bawakan satu kelainanlah. Tak nak persembahan yang biasa.”

Kelainan itulah yang sempat penyanyi berusia 38 tahun itu tampilkan untuk konsert Dua Dekad Dayang Nurfaizah di Istana Budaya baru-baru ini. Tambahnya:
“Susunan muzik berbeza tapi taklah sampai hilang melodi lagu itu dengan harapan bila peminat datang mereka rasa sama tapi lain, cara nyanyian Dayang pun lain sikit.”

AKAN DAPATKAN MAKLUM BALAS PEMINAT S’PURA

Sudah tentu juga Dayang rasa sedikit tertekan apabila mengetahui tiket konsertnya ‘sold-out’.

“Dayang jadi takut sebab bila ‘sold out’, Dayang risau tentang lagu-lagu Dayang. Alamak macam mana? Apa yang mereka nak dari Dayang. Dayang kena buat terbaik untuk malam itu (konsert dua dekad), pemilihan lagu pun kena yang terbaik apa yang peminat nak dengar.”

Bagi konsert Dayang di Singapura nanti, beliau akan mendapatkan maklum balas dari peminat Singapura bagi senarai lagu yang ingin mereka dengar nanti.

“Dayang akan tukar beberapa buah lagu di Singapura. Kadang berlainan, kan, apa yang mereka suka di Singapura tapi tak boleh tukar banyak sangat,” katanya.

Malah Dayang mungkin juga menyelitkan lagu-lagu klasik lama nyanyian Saloma dan Nona Asiah seperti yang dilakukannya baru-baru ini.

Jadi mengapa sebenarnya Dayang gemar membawakan lagu-lagu klasik lama dan ‘cover” untuk konsertnya kerana tidak ramai penyanyi memilih berbuat demikian?

“Itu saja peluang Dayang nyanyikan lagu-lagu favorit Dayang sebab lagu-lagu itu Dayang tak berpeluang nyanyikan untuk show lain. Bila Dayang ada band untuk konsert, mengapa tidak Dayang selitkan lagu-lagu lama macam di Konsert Dua Dekad.? Dayang boleh jugak kenalkan lagu-lagu Saloma bagi mereka yang belum tahu lagu itu.”

Jika tidak lagu-lagu klasik lama pun, Dayang mungkin membawakan lagu-lagu lain tahun 1980-an atau 1990-an kerana banyak lagu-lagu tersebut bagi beliau, sedap-sedap belaka di mana melodi lagu-lagu tersebut berkemungkinan sudah dilupakan oleh ramai.

LAGU-LAGU NONA ASIA “CHEEKY & FUN”

Mengenai pemilihan lagu Nona Asiah atau Mak Nona untuk konsert di Kuala Lumpur kelmarin dan mungkin juga untuk konsert di Singapura nanti, Dayang merasakan lagu-lagu Nona Asiah “selalu fun” melodinya.

Jelasnya lagi, lagu Nona Asiah berjudul Jangan Pandang Bung adalah sebuah lagu yang “cheeky, fun tapi masih cantik bahasanya”. Kata Dayang tanpa ragu-ragu:

“Lirik lagu-lagu lama sedap, susunan lagu dulu sangat maju sebenarnya, canggih. Sayang kalau kita tak kenalkan pada anak-anak muda sekarang.”

BERITAmediacorp sengaja mengusik Dayang dengan bertanyakan, bagaimana sekiranya Nona Asiah sendiri hadir menyaksikan konsert Dayang di Singapura nanti memandangkan Dayang mengagumi penyanyi tersebut?

Dengan pantas penyanyi itu menjawab:
“Rasa bertuah kalau dia nak datang. Wow! Dia (Nona Asiah) pernah dengar ke nama Dayang Nurfaizah? Dayang akan rasa berterimakasih, teruja. Dayang malulah nak nyanyi depan dia nanti (ketawa) takut kalau dia tak suka Dayang nyanyi lagu dia ke, macam tak lulus ke? Takut jugak.”

Tiket-tiket Konsert Dayang Dua Dekad di Singapura belum lagi dijual. Jihan Jauhar, penerbit Shiraz Projects Pte Ltd, bagaimanapun menyatakan bahawa peminat boleh mendapatkan maklumat mengenai penjualan tiket konsert dari Instagram rasmi iaitu Shiraz Projects.

Dayang Nurfaizah pula berharap para peminat yang sudahpun datang menyaksikan konsert Dua Dekadnya di Kuala Lumpur agar cuba juga untuk datang menonton sekali lagi pada Disember nanti. Mengapa? Kerana lagu terbaru Dayang berjudul Sebentar dijangka dikumandangkan

"Harap-harap mereka akan terus menyokong Dayang untuk lagu terbaru Dayang berjudul Sebentar." Sudah semestinya beliau akan membawakan lagu terbaru tersebut di Singapura nanti.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan