Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kongsi akaun Netflix? Sekatan perkongsian kata laluan sedang diuji

Beberapa pengguna Netflix baru-baru ini dilaporkan menerima mesej yang cuba mengesahkan sama ada mereka tinggal serumah dengan pemilik akaun yang berdaftar, membayangkan syarikat khidmat penstriman itu mungkin akan mengambil tindakan bagi perkongsian akaun yang melanggar syarat khidmat mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Kongsi akaun Netflix? Sekatan perkongsian kata laluan sedang diuji

Mesej dipaparkan di aplikasi Netflix (Gambar: Media sosial)

Diterbitkan : 14 Mar 2021 11:06PM Dikemas Kini : 14 Mar 2021 11:09PM

AMERIKA SYARIKAT: Beberapa pengguna Netflix baru-baru ini dilaporkan menerima mesej yang cuba mengesahkan sama ada mereka tinggal serumah dengan pemilik akaun yang berdaftar, membayangkan syarikat khidmat penstriman itu mungkin akan mengambil tindakan bagi perkongsian akaun yang melanggar syarat khidmat mereka.

Pertama kali dilaporkan oleh laman industri Streamable, mesej yang terpapar di layar pengguna berbunyi: "Jika anda tidak tinggal bersama pemilik akaun ini, anda perlu ada akaun sendiri untuk terus menonton."

Untuk terus menggunakan Netflix, pengguna itu perlu mengesahkan akaun tersebut dengan kod emel atau teks, ataupun memilih untuk mendaftar akaun langganan baru dengan tempoh percubaan 30 hari.

Menurut syarat penggunaan Netflix, akaun tersebut hanya boleh dikongsi dengan anggota seisi rumah.

Streamable melaporkan ujian itu kini terhad kepada mereka yang menggunakan Netflix menerusi TV. Seorang jurucakap Netflix memberitahu laman itu: "Ujian ini direka untuk memastikan mereka yang menggunakan akaun Netflix adalah mereka yang mempunyai kebenaran melakukan sedemikian."

Jawapan serupa juga diberikan kepada media Britain BBC dan Amerika Syarikat, CNBC.

Menurut CNBC, Netflix menyatakan bahawa pihaknya melakukan "ratusan" ujian sedemikian dalam setahun melibatkan pengguna tertentu.

Menukil dapatan firma penyelidikan Magid, CNBC melaporkan sekitar 33 peratus pengguna Netflix berkongsi kata laluan mereka dengan sekurang-kurangnya satu orang lain.

BBC melaporkan wadah-wadah penstriman lain seperti HBO Go, Amazon Prime dan Disney+ juga membenarkan pengguna mendaftar beberapa profil menggunakan satu akaun, namun syarat dan ketentuan menetapkan bahawa profil-profil itu hanya boleh digunakan oleh mereka yang tinggal serumah.

BBC menambah, ketua pegawai produk Netflix, Greg Peters seawal Oktober 2019 telah berkata syarikat tersebut sedang meneliti isu perkongsian kata laluan, namun tidak mempunyai sebarang "rancangan besar buat masa ini untuk melakukan perubahan".

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan