Images
  • sudirman
    (Gambar: Datuk Sudirman Haji Arshad/Facebook)

Kisah Sudirman dibukukan wartawan

MALAYSIA: Pada 22 Februari genap 27 tahun pemergian penghibur disanjung ramai, Allahyarham Sudirman Arshad.

Meskipun sudah tiada, kisah hidup penyanyi Salam Terakhir itu terus menjadi buah mulut para peminatnya. Manakan tidak, arwah Sudirman pernah ditabalkan sebagai Penghibur Nombor Satu Asia dan lagu-lagunya terus dimainkan di radio.

Tidak lama lagi, para peminat Sudirman akan dapat mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Namun, kali ini, melalui kaca mata seorang wartawan.

Semestinya, wartawan antara mereka yang boleh dikatakan rapat dengan golongan artis, apatah lagi jika mereka bersahabat baik dengan penghibur itu.

Ramai mungkin tidak tahu tetapi arwah Sudirman rapat dengan seorang wartawan dikenali sebagai Saodah Ismail satu ketika dahulu. Cik Saodah kini terpanggil untuk menulis tentang sahabatnya, yang menurut beliau, mempunyai keperibadian yang sangat baik.

INGIN ORANG RAMAI TAHU KEHEBATAN SUDIRMAN

Cik Saodah atau lebih mesra disapa Odah berkata, sejujurnya, beliau juga sering ditanya oleh rakan-rakan serta peminat-peminat Sudirman yang memintanya menulis sebuah buku mengenai Allahyarham.

"Lama saya memikirkan untuk menulis pengalaman saya bersahabat dengan arwah Abang Sudir (panggilan untuk Allahyarham Sudirman). Apa pula isi kandungannya? Namun selepas berbincang dengan rakan-rakan, saya buat keputusan untuk berkongsi pengalaman menjadi salah seorang sahabat Allahyarham.

"Sepanjang mengenali arwah Abang Sudir banyak sisi peribadinya, kebijaksanannya, disiplin beliau dan kerja keras arwah yang saya fikir harus dikongsi dengan masyarakat.

"Arwah Abang Sudir memiliki persona yang orang lain tiada. Saya bertuah kerana pernah mengenalinya dan saya tidak mahu sia-siakan pengalaman berharga itu. Saya mahu orang lain dan generasi baru mengenali kehebatan Allahyarham Sudirmah Haji Arshad," kata Cik Saodah kepada Astro Awani.

MULA DIPASARKAN BULAN DEPAN

Buku dengan tajuk sementara 'Sudirman Yang Ku Kenali, dijangka dipasarkan menjelang bulan depan'.

Selain memuatkan pengalaman peribadinya, Cik Saodah yang juga bekas wartawan hiburan akhbar Berita Harian turut menemu bual sahabat-sahabat dan kenalan Allahyarham Sudirman seperti penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, bekas pengurus Sudirman, Dharanee, bekas pegawai di syarikat rakaman EMI, Norisah Sulaiman dan ramai lagi, lapor Astro Awani.

"Gabungan cerita pengalaman-pengalaman mereka yang mengenali Allahyarham Sudirman saya fikir akan memberikan pemahaman kepada pembaca dan orang ramai mengenai sifat rendah diri, pemurah dan penuh kasih sayang yang ada pada arwah," jelas Cik Saodah yang mengambil masa hampir setahun mengumpul bahan serta menulis buku berkenaan.

Penulisan buku Sudirman Yang Ku Kenali ini, jelas Saodah, bukan berbentuk biografi, sebaliknya, ia sebuah naskhah yang hanya bercerita mengenai pengalaman mengenali Sudirman.

Allahyarham Sudirman meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Februari 1992 ketika namanya berada di puncak kegemilangan. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top