Kesatuan artis perlu perkasa industri seni setempat, bukan setakat bantu dalam kesempitan
Ada yang menyokong langkah menubuhkan persatuan artis untuk penggiat seni Melayu/Islam setempat. Ada pula agak ragu keberkesanan kesatuan artis sedemikian. Namun ada merasakan peranan utama persatuan artis adalah untuk memperkasa industri seni Melayu setempat, selain membantu anak seni memerlukan.
SINGAPURA: Ada yang menyokong langkah menubuhkan persatuan artis untuk penggiat seni Melayu/Islam setempat. Ada pula agak ragu keberkesanan kesatuan artis sedemikian. Namun ada merasakan peranan utama persatuan artis adalah untuk memperkasa industri seni Melayu setempat, selain membantu anak seni yang memerlukan.
Itulah pandangan para seniman mapan Singapura ketika ditinjau DETIK jika perlunya ada kesatuan artis yang dapat mengurus dan membantu anak seni yang berada dalam kesusahan atau sakit.
“Bagi saya, persatuan ini tidak harus matlamatnya untuk membantu artis bila kesempitan sahaja. Saya rasa persatuan ini kalau ditubuhkan mempunyai matlamat yang lebih luas. Bagaimana persatuan ini dapat memperkasakan industri kita. Menambahkan lagi pendapatan artis atau meluaskan lagi peluang - peluang untuk mereka berkarya dan juga menyarankan inistiatif untuk artis - artis kita memperbaiki kemahiran dan juga aspirasi mereka,” luahan penghibur, pengarah dan penerbit Najip Ali yang terlibat dalam industri seni tempatan dan serantau sejak 3 dekad lalu.
Bagi pelawak Hussin Saaban, beliau telah mendengar saranan untuk menubuhkan kesatuan artis sejak dahulu lagi. Namun, hingga kini, ia belum lagi menjadi kenyataan.
"Kalau ingin mengumpul yuran persatuan berapakah yuran keahlian yang dikenakan setiap bulan? Itu agak berat. Nanti ada sahaja yang tidak akan setuju dengan cadangan sedemikian." Hussin berpendapat.
Anggota kumpulan Al-Jawaher Norhaiyati Yusop pula mengalu-alukan gagasan menubuhkan persatuan yang menjaga kebajikan artis memandangkan ukuran Singapura yang kecil.
Vokalis kumpulan Outcry Zulkarnain Othman berpendapat Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) mungkin antara yang boleh memainkan peranan tersebut, jika dapat dihimpunkan semua anak seni Melayu.
Al-Jawaher dan ZulkOutcry bakal bergabung suara secara akustik dalam sebuah muzik video yang akan diterbitkan hujung Julai ini untuk mengumpul dana bagi pengubah, penerbit dan penulis lagu Baharom Paiman yang menghidapi barah usus tahap tiga.
ANAK SENI S'PURA JARANG TAMPIL KE DEPAN MOHON BANTUAN
“Kebanyakan berdiam diri. Agaknya mereka segan. Tapi kita sebagai kawan-kawan pemuzik, apabila kita tahu tentang keadaan kesihatan mereka, kita akan kedepan untuk mengumpul dana. Sedikit sebanyak untuk meringkan duit hospital or ubat ke. Itu yang mampu kita buat,”
- perkongsian pemuzik sepenuh masa Abdul Shukor Jalil yang terlibat selaku pemain gitar dan pengarah bagi projek muzik video bersama Al-Jawaher dan Zulkarnain.
Menurut para karyawan seni setempat ini, kebanyakkan usaha mengumpul dana untuk membantu anak seni merupakan usaha sesama kalangan artis, baik secara perseorangan mahupun berkumpulan.
“Walaupun kita tidak meminta bantuan dan sebagainya, dalam kalangan artis itu sendiri banyak perkara yang telah kita lakukan sesama untuk memastikan kita maju bersama dan menolong antara satu sama lain,” menurut Najip.
Beliau turut memberi contoh usaha sebuah badan teater setempat, Dreams Academy, yang telah menubuhkan Dana Emma Yong untuk membantu anak seni yang menghidapi barah atau penyakit lain.
“Ini satu initiatif yang sangat membanggakan bagi saya kerana ini adalah initiatif daripada kalangan para pelakon dan juga artis - artis tanah air. Dana Emma Yong ini bukan sahaja untuk para penggiat teater tetapi siapa sahaja yang bekerja sepenuh masa sebagai seorang artis boleh pergi ke Dream Academy dan meminta bantuan menerusi dana ini,” tambah Najip.
HAMPIR 90% ANAK SENI S'PURA PUNYA KERJA SEPENUH MASA
Zulkarnain menekankan hampir 90 peratus anak seni Singapura bekerja sepenuh masa untuk menampung kehidupan dan mempunyai simpanan Medisave dan insurans.
Ini turut diakui Najip yang berpendapat anak seni Singapura sudah tahu tentang realiti kehidupan seni setempat dan tahu mencari selok belok untuk menakat.
“Ada yang di antara mereka mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Ada juga mereka yang mempunyai perniagaan yang beruntung. Dan ada juga mereka membuat kursus - kursus seni di sekolah – sekolah,” katanya.
Bagi Hussin Saaban, beliau lebih selesa bekerja sepenuh masa untuk menampung kehidupan keluarga.
“Kalau ingin mengharapkan duit berlakon ke melawak atau sebagainya untuk menampung keluarga saya, saya tidak mampu, saya tidak sanggup. Yang kerja tetap di Singapura ini, ada CPF, ada Medisave. Kalau sakit pun pergi doktor ada ini dapat cuti bergaji dan sebagainya.” ujar Hussin yang bekerja sebagai pegawai pengumpulan dana di Jamiyah.
KAMI PEDULI & JAMIYAH BERGABUNG, BERI SOKONGAN LEBIH UTUH UNTUK ARTIS MEMERLUKAN
Kami Peduli merupakan kumpulan tidak rasmi yang telah mengadakan usaha mengumpul dana untuk membantu anak-anak seni setempat yang memerlukan sejak 16 tahun lalu. Untuk memberi sokongan yang lebih padu, Kami Peduli kini bergabung tenaga dengan Jamiyah.
Menerusi langkah ini, bantuan yang boleh ditawarkan Jamiyah seperti khidmat kaunseling, guaman, klinik percuma, ambulans dan bekalan makanan dapat dimanfaatkan untuk memberi bantuan menyeluruh kepada anak seni yang memerlukan.
“Selama ini kita cuma melakukan satu projek mungkin dalam satu tahun sahaja. Dan berapa terkumpul kita akan serahkan kepada penerima anak - anak seni ini. Dan kita juga sekarang dah nak ubah hala tuju. Hala tuju itu dia bukan membantu dalam segi kewangan sahaja. Sekiranya seseorang anak seni itu, tiap minggu dia kena dua kali pergi rawatan, kalau kita bekerjasama, pihak Jamiyah boleh menyediakan transportasi atau ambulans dan juga merujuk mereka kepada agensi-agensi yang tepat untuk menyediakan bantuan,” kata Osman Arrifin, pengurus besar serantau Life Records dan pengasas Kami Peduli.
Menerusi pelbagai usaha yang dirancang, serta penglibatan aktif mereka yang peduli, diharap masa depan artis Melayu tempatan akan bertambah terjamin, setimpal sumbangan mereka kepada industri hiburan tanah air.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.