Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kes saman pelakon Fazura kerana langgar kontrak ditunda

Keputusan kes saman terhadap pelakon dan penyanyi Fazura, yang nama sebenar ialah Nur Fazura Shariffudin, berhubung dakwaan melanggar kontrak ditangguhkan sehingga 18 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman pelakon Fazura kerana langgar kontrak ditunda

Nur Fazura. (Gambar: missfazura/Instagram)

Diterbitkan : 06 May 2020 01:58PM Dikemas Kini : 06 May 2020 02:00PM

KUALA LUMPUR: Keputusan kes saman terhadap pelakon dan penyanyi Fazura, yang nama sebenar ialah Nur Fazura Shariffudin, berhubung dakwaan melanggar kontrak ditangguhkan sehingga 18 Jun.

Peguam Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu Bernama bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh baru itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia ketika ini.

"Kami menerima pangilan telefon daripada mahkamah memaklumkan keputusan itu, yang pada mulanya dijadualkan untuk disampaikan oleh hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril hari ini,” kata Encik Fakhrul Azman.

Pada 16 Disember 2017, pemilik Maydan Trading, Narhamdan Abd Malek, mengemukakan saman dengan menamakan Nur Fazura, 37 tahun, sebagai defendan pertama dan Universal Music Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music supaya Fazura memasarkan produk 'Q Tab' - iaitu produk kesihatan rambut, kulit dan kuku, dalam bentuk ‘candy’ yang boleh dikunyah - dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu. Selain itu, Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa pada hujung September 2017 bahawa Fazura melanggar kontrak apabila artis itu melancarkan serta memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu 'TRUDOLLY 'TruBeauty' sedangkan beliau masih terikat dengan kontrak bagi pemasaran “Q Tab”.

Menurut penyataan tuntutan, keadaan itu mewujudkan persaingan bagi produk ‘Q Tab’ dan oleh kerana pemasaran produk itu diabaikan, ia menyebabkan Narhamdan mengalami kerugian.

Plaintif antara lain menuntut pembayaran balik RM156,000 (S$51,200) daripada kedua-dua defendan di samping ganti rugi RM141,755.61 (S$46,600) kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Januari 2018 mendakwa beliau tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan plaintif, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan plaintif.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan