Images
  • farid kamil
    (Gambar: faridkamilz/Instagram)

Kes pelakon Farid Kamil buat aduan palsu ditangguhkan

PETALING JAYA: Perbicaraan kes pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari yang menghadapi pertuduhan membuat aduan polis palsu berhubung dakwaan dirinya dianiaya tiga rakan artis, yang sepatutnya bermula hari ini (26 Nov), ditangguhkan kepada Februari tahun depan.

Majistret Salamiah Salleh memutuskan demikian selepas pihak pembelaan memaklumkan ingin meneliti pertuduhan pindaan yang baru dikemukakan pihak pendakwaan. Farid Kamil, 37 tahun, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan.

Bagi pertuduhan pindaan, beliau didakwa sudah membuat satu kenyataan palsu yang mana laporan itu bersabit dengan laporan polis Damansara yang difailkan.

Farid Kamil sebelum ini mengaku: "Semua perkara ini terjadi disebabkan kerana saya percaya minuman saya sudah dicampurkan satu barang terlarang iaitu dadah oleh tiga individu yang saya kenali selama 13 tahun - yang bernama Sofi Jikan, Osh (Firdaus) dan Taj (penyanyi kumpulan Innuendo) - pada malam sebelum kejadian berlaku yang menyebabkan saya berjalan dalam keadaan tidak sedar dari Ara Residence sehingga Balai Polis Taman Tun Dr Ismail tanpa tujuan yang jelas... sehingga saya berjumpa dengan Ketua Polis Timbalan Superitendan Mohsin".

Pertuduhan pindaan itu lebih terperinci dengan memasukkan nama tiga artis terbabit dan bagaimana kejadian itu didakwa berlaku.

Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada 5.54 petang, 31 Jan lalu mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan pindaan itu.

"Saya baru dilantik sebagai peguam untuk mengendalikan kes ini dan saya mohon mahkamah menangguhkan perbicaraan bagi pertuduhan ini," katanya.

Mahkamah menetapkan 19, 20, 25 dan 26 Feb tahun depan untuk perbicaraan kes terbabit dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top