Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Keroncong Asmara kembalikan nostalgia warga emas, lestarikan irama bagi anak muda

Dewasa ini memang sangat sukar untuk menyaksikan persembahan konsert keroncong di Singapura, seolah-olah ia sudah hampir pupus.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dewasa ini memang sangat sukar untuk menyaksikan persembahan konsert keroncong di Singapura, seolah-olah ia sudah hampir pupus.

Bagaimanapun sebulan dari sekarang, anda berpeluang menikmati konsert Keroncong Asmara yang diharap mengembalikan nostalgia bagi warga emas, selain memperkenalkan keindahannya kepada anak-anak muda.

Yang pasti, alunan keroncong yang gemersik dan mendayu-dayu mengisi segenap ruang studio semasa rakaman awal Keroncong Asmara itu.

Ia membariskan para penyanyi mapan seperti Eddy Ali, Mahani Mohd dan Rudy Djoharnaen.

Rakaman terbitan Wadah Seni Entertainment sempena Pesta Warga Emas itu akan disiarkan secara online pada 12 September ini.

Ini juga kali kedua syarikat tersebut menerbitkan acara bagi pesta itu, selepas Sukma Irama Layar Perak tahun lalu.

Rudy Djoharnaen dan Christina Wee.

Sebagai penerbit Keroncong Asmara, Rudy berkongsi bahawa tema keroncong diusulkan kerana ia jarang sekali diketengahkan sekarang jadi beliau berasa memang wajar ia diserlahkan untuk pesta seni ini.

"Saya rasa untuk warga emas sangat sesuai kerana sebahagian besar daripada mereka terutama masyarakat kita membesar dengan lagu keroncong.

"Kita juga ingin memperkenalkan dan melestarikan kembali irama ini untuk anak-anak muda juga menerusi program ini," jelas beliau.

PENYANYI, PEMUZIK BUKAN MELAYU JUGA TURUT SERTA

Malah para penyanyi dan pemuzik bukan Melayu seperti Frederick Soh, Roselind Png, Christina Wee dan Ernest Thio dari kumpulan Gunong Sayang juga akan membuat penampilan.

Roselind Png dan Frederick Soh dari kumpulan Gunong Sayang.

Mereka semua akan diiringi oleh Orkestra Melayu Singapura (OMS).

Namun di sebalik keindahan set dan irama yang dimainkan, sebenarnya ada cabaran bagi para pemuziknya.

Pengarah Muzik Keroncong Asmara, Danial Ariffin Azman berkongsi: "Selalunya lagu keroncong dimainkan dengan begitu asli, maksudnya dalam format asal. Keroncong itu memang instrumentasinya terserlah - cak dan cuk, keroncong cello.

Orkestra Melayu Singapura bersama Ernest Thio (dua dari kanan). (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Tapi untuk kali ini kami terpaksa buat sedikit ubah suai kerana tak boleh ada banyak pemuzik dalam set.

SEGMEN INTERAKTIF AJAK MENARI BERSAMA

Antara lagu yang dapat anda nikmati termasuklah lagu Stambul Cha Cha dan Jali-Jali.

Bahkan ada juga segmen-segmen interaktif yang menggalak warga emas untuk ikut menari bersama.

"Kita mahu bukan sahaja warga emas tetapi anak cucu mereka boleh menikmatinya bersama, jadi semua kena 'sporting'," ujar Rudy.

Biduanita Mahani Mohd yang berasa teruja diundang menyanyi bersama turut melahirkan harapan irama keroncong tidak dipinggirkan.

"Jangan diabaikan, harus ada pelapis untuk keroncong sebab kalau rock, hip-hop dia banyak pelapis.

"Tapi kalau asli, terutama sekali keroncong, kita tak ada pelapis lagi. Kita harus ambil berat. Anda harus menghargainya, ia suatu harta yang harus dihargai," kata beliau.

Keroncong Asmara akan disiarkan di laman Facebook Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 12 September, jam 2.00 petang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan