Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Keputusan 'Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal' bagi calon akhir Anugerah Oscar diketahui esok

Keputusan sama ada filem animasi Malaysia, ‘Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal’ terbitan Les' Copaque Production terpilih dalam senarai lima calon akhir bagi Anugerah Academy atau lebih dikenali sebagai Oscar, akan diketahui pada Isnin (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan 'Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal' bagi calon akhir Anugerah Oscar diketahui esok

(Gambar: Upin & Ipin/Facebook)

Diterbitkan : 12 Jan 2020 09:10PM Dikemas Kini : 12 Jan 2020 09:11PM

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada filem animasi Malaysia, ‘Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal’ terbitan Les' Copaque Production terpilih dalam senarai lima calon akhir bagi Anugerah Academy atau lebih dikenali sebagai Oscar, akan diketahui pada Isnin (13 Jan).

Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Radzi mengatakan bahawa syarikat itu menghantar sendiri pencalonan ke anugerah filem paling berprestij di dunia itu ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi kategori filem animasi terbaik kerana hanya mempunyai waktu singkat iaitu enam hari sebelum tarikh tutup.

“Penganjur meminta sebanyak 300 keping cakera video digital (DVD) untuk diedarkan kepada juri. Sekiranya kami menghantar melalui pos, DVD mungkin akan sampai lambat yang sekaligus berisiko penyertaan ditolak. 

“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menerbangkan kakitangan syarikat ke Los Angeles bagi memastikan DVD itu sampai kepada pihak penganjur sebelum tarikh tutup,” katanya.

Filem animasi berkenaan mencatatkan sejarah apabila menjadi filem pertama dari Malaysia bagi kategori berkenaan yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 32 calon akhir daripada ratusan penyertaan yang diterima dari seluruh dunia.

Filem yang menelan belanja RM20 juta (S$6 juta) itu menampilkan watak kartun Upin dan Ipin bersama watak kisah Melayu tradisional, seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan Si Tanggang dan mencatat hasil kutipan RM26 juta (S$8 juta) ketika ditayangkan tahun lalu.

Sementara itu, Encik Burhanuddin mengatakan bahawa filem itu dihasilkan untuk pasaran global, dengan dimasukkan ciri-ciri orkestra, nilai dan budaya tempatan yang tidak dilihat dalam animasi lain.

“Sebab itu filem ini boleh diterima di luar negara dan akan ditayangkan di beberapa negara lain. Filem animasi itu juga telah ditayangkan di Indonesia, Filipina dan Vietnam, dan sedang menunggu tarikh tayangan di China.

“Semuanya sudah rasmi dan bakal ditayangkan di 10,000 buah pawangan di negara berkenaan. Kita memperuntukkan RM6 juta (S$1.9 juta) untuk promosi di China dengan anggaran pulangan sebanyak RM2 billion (S$661 juta). Selain China, filem ini juga akan ditayangkan di Turki tidak lama lagi. Setakat ini, 200 pawagam sudah memberi persetujuan untuk menayangkan Upin dan Ipin,” katanya.

Menurutnya, animasi Malaysia sangat terkenal di ASEAN serta mempunyai potensi ke pasaran global dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melakukan tugas dengan baik apabila mula memberi fokus kepada animasi dan membantu banyak syarikat berkembang.

Mengenai perancangan seterusnya syarikat itu, Encik Burhanuddin mengatakan bahawa pihaknya merancang untuk membina taman tema seperti Disneyland tetapi konsepnya sudah pasti Upin dan Ipin dan persekitaran seperti dalam filem.

“Ia mempunyai dua jenis iaitu dalam bangunan di Kuala Lumpur melibatkan pelaburan sebanyak RM60 juta (S$19 juta) dan lokasinya sudah dikenal pasti. Seterusnya kita merancang untuk membina taman tema konsep luar.

“Yang ini melibatkan pelaburan berbilion ringgit. Mungkin pihak kerajaan ataupun agensi seperti MDEC boleh membantu kami mencari lokasi sesuai kerana sehingga kini belum dapat lokasi untuk taman tema outdoor ini,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan